PRU14: Kempen Parlimen Tuaran luar biasa - Tangau




TUARAN, 3 Mei (Bernama) -- Gerak kerja kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Parlimen Tuaran dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) -- Kiulu, Tamparuli dan Sulaman dilihat agak luar biasa tambahan dengan kemasukan anggota parti pembangkang ke dalam pasukan Barisan Nasional (BN) kawasan itu selepas mereka hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan parti masing-masing.

Semalam, seramai 250 anggota PKR Parlimen Tuaran diketuai Timbalan Pengarah Pilihan Raya PKR Parlimen Tuaran Rajimit Gunong telah mengumumkan keluar parti, manakala hari ini enam pemimpin kanan Parti Cinta Sabah (PCS) turut mengisytiharkan keluar parti seterusnya menyertai BN.

Enam pemimpin kanan PCS itu ialah Speaker (Pengerusi Tetap), Ketua Penerangan dan Pengarah Unit Media & Komunikasi parti itu Lesaya Lopog; Setiausaha Agung John Hussein; anggota Exco Wanita Anita Hokum; anggota Jawatankuasa dan Setiausaha Pengelola Joslin Ludsum; dan Penolong Pegawai Penerangan Hillary Gindayuk; dan Ketua Jentera Pilihan Raya PCS Kiulu Sindin Ranggangon.

Timbalan Pengerusi BN Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang juga penyandang dan calon BN bagi kerusi Parlimen Tuaran berkata meskipun ramai anggota pembangkang menyertai BN, namun, jentera pilihan raya akan terus diperkasa dan dimantapkan lagi sehingga ke garisan penamat pada 9 Mei ini.

"Sudah enam hari kami berkempen dan ini memang satu kempen pilihan raya agak luar biasa dan jentera juga luar biasa. Walaupun ramai rakan-rakan pembangkang telah menyertai dan menyokong kami (BN), namun, kami tidak berhenti dan akan meneruskan perjuangan sekali gus memperkemas jentera BN.

"Hari ini, rakan-rakan (pemimpin kanan parti PCS) menyertai kami (BN) dan kami memberi ruang kepada mereka untuk memainkan peranan memandangkan masing-masing mempunyai bakat tersendiri yang boleh dimanfaatkan dalam jentera kami," kata Pemangku Presiden UPKO itu dalam sidang media di sini hari ini.

Mengulas anggota PKR Parlimen Tuaran bertindak keluar parti seterusnya menyertai BN, Tangau berkata, penyertaan mereka bersama BN diterima dengan hati terbuka malah mereka sudah memulakan kempen membantu BN memperoleh kemenangan besar bagi kerusi Parlimen dan ketiga-tiga kerusi DUN terbabit.

"Jentera PKR di Tuaran sudah lumpuh. Timbalan Pengarah Pilihan Raya PKR (Rajimit) menghentikan bilik operasi PKR dan menggantikannya kepada bilik operasi BN. Mereka juga sudah berkempen dan membantu kemenangan BN khususnya untuk merampas DUN Tamparuli pada PRU14 ini," katanya.

Tangau berkata pilihan raya kali ini diharap akan dapat memantapkan lagi BN terutama tiga parti komponennya di Sabah yang berasaskan kepelbagaian kaum khususnya masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) iaitu PBS, UPKO dan PBRS untuk memenangi kesemua 20 kerusi DUN serta 10 kerusi Parlimen.

-- BERNAMA