Ah Cheng sudah setahun 'berkempen' di DUN Bandar

Oleh Nur Firdaus Abdul Rahim
KUALA TERENGGANU, 3 Mei (Bernama) -- Momentum berkempen oleh Piilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dilihat semakin meningkat setelah waktu berkempen kini memasuki hari kelima sebelum 'perang' sebenar tiba 9 Mei ini.
Calon-calon dari pelbagai parti politik yang bertanding di Terengganu khususnya Barisan Nasional (BN) dilihat terus melancarkan gerakan mendekati pengundi ke segenap pelusuk kawasan yang bakal ditandingi sebaik sahaja diumumkan sebagai calon pada 28 April lalu.
Seteru utama, PAS pula dilihat lebih awal melancarkan perang poster dan bendera terutama di kawasan yang ditandingi presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang iaitu kawasan Parlimen Marang sejak lebih sebulan yang lalu.
Parti di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR, Amanah, PPBM dilihat menggunakan pendekatan yang lebih sederhana.
Di Parlimen Kuala Terengganu, calon PH dari Amanah, yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Datuk Raja Kamarul Baharin Shah, misalnya dilihat lebih selesa bergerak dalam kumpulan yang kecil, mengedarkan risalah yang mengandungi manifesto PH dari rumah ke rumah, atau memberikan ceramah dari lori kecilnya di sekitar kawasan Batu Buruk.
Bagi calon BN di DUN Bandar, Toh Seng Cheng dari MCA, atau mesra dipanggil Ah Cheng, tekanan itu kurang dirasai kerana beliau telah menjalankan gerak kerja dengan mendekati pengundi sejak setahun yang lalu sebaik sahaja beliau diumumkan sebagai satu-satunya calon dari MCA Terengganu pada PRU14 ini oleh Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Gerak kerja hasil gabungan MCA dan UMNO itu, katanya, membantunya meyakinkan kembali 20, 217 pengundi DUN itu untuk menyokong BN selepas melihat kepincangan wakil rakyat PKR, Azan Ismail, di situ yang gagal melakukan perubahan dan menyelesaikan masalah penduduk setempat sejak lima tahun lalu.
"Kita kena bersiap sedia dari awal dan tidak buat persiapan di saat-saat akhir... bukan lagi dua minggu mahu PRU baru turun padang?walaupun kita kalah dalam Parlimen Kuala Terengganu, tapi perkhidmatan BN terhadap rakyat tidak pernah terhenti.
"Dan saya lihat kebelakangan ini sokongan pengundi di kawasan ini kembali meningkat, kerana kini mereka sedar siapa yang banyak ambil berat mengenai susah payah mereka sekali gus menaikkan semangat dan dorongan saya untuk terus bekerja hingga hari pengundian," kata Setiusaha MCA Terengganu itu ketika ditemui Bernama.
Menyedari undi golongan muda mampu mempengaruhi kemenangannya, Ah Cheng berharap golongan itu tidak mudah terpengaruh dengan berita-berita negatif di media sosial yang kebanyakannya mengandungi mesej yang kurang tepat dan sudah diputarbelitkan.
Apatah lagi, katanya, kekalahan BN pada PRU13 di DUN Bandar adalah berpunca daripada 'tsunami' golongan belia yang menolak BN ekoran terpengaruh dengan pelbagai isu dibangkitkan parti lawan sehingga menimbulkan kemarahan rakyat.
"Jadi saya menyeru pada golongan ini supaya lebih positif dan berfikiran terbuka serta menjalankan sedikit kajian terhadap berita-berita negatif yang dilemparkan pihak tertentu dalam sesuatu isu sebelum mempercayainya," katanya.
Ah Cheng, yang juga Penyelaras DUN Bandar, turut menyedari keperluan golongan warga emas di situ dan berhasrat melakukan pelbagai lagi penambahbaikan keperluan bagi memastikan kebajikan mereka terjaga dan dapat hidup lebih selesa.
"Saya berhasrat jika BN diberikan mandat pada kali ini, akan membuat satu kawasan rekreasi yang mempunyai peralatan senaman bagi warga emas menjalankan aktiviti seharian di situ bersama rakan taulan.
"Kita juga akan menubuhkan satu skuad sukarelawan bagi menjaga kebajikan warga emas ini kerana kita mengetahui ada dalam kalangan mereka hidup sendirian kerana anak-anak atau saudara mara tinggal berjauhan dari mereka," katanya.
Tinjauan Bernama juga mendapati Ah Cheng, satu-satuanya pemimpin BN yang telah dinamakan sebagai calon lebih setahun, dilihat memenuhi pakej calon boleh menang iaitu mesra, mudah didekati, tidak kekok turun bertemu pengundi malah beliau yang merupakan anak jati bandar ini sangat fasih berbahasa Melayu dan dialek Terengganu.
Aura 'kemenangan' Ah Cheng itu turut dirasai Chong Kee Eng, 80, yang mengenali Ah Cheng secara lebih dekat memandangkan anaknya pernah menjadi rakan sekelas Ah Cheng.
"Ah Cheng memang sesuai jadi wakil rakyat, saya selalulihat beliau berjumpa orang ramai tanya khabar, sudah makan ke belum, sihat atau tidak dan bertanyakan kita jika ada apa-apa masalah,\" katanya ketika ditemui di Pasar Pagi Kampung Tiong, di sini.
Cheen Kim Foon, 67, seorang peniaga buah-buahan, pula turut menyuarakan perkara yang sama dan melihat Ah Cheng mampu menjadi wakil mereka dalam kerajaan sekali gus dapat lebih membawa manfaat kepada kaum itu di negeri ini.
"Dalam lima tahun ini tiada banyak perubahan dari segi ekonomi pada kaum kita, jadi kita berharap akan ada perubahan jika Ah Cheng menang\" katanya.
-- BERNAMA