Nozula turun padang bantu calon BN walaupun kurang sihat




KOTA BHARU, 3 Mei (Bernama) -- Walaupun terpaksa dipapah berikutan kesan penyakit angin ahmar yang dihadapinya sejak beberapa tahun lepas, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah tetap menggagahkan diri turun berceramah ke setiap Parlimen bagi membantu calon Barisan Nasional (BN) di Kelantan.

Nozula, yang digugurkan sebagai calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini, setelah mencurahkan khidmat selama 28 tahun sebagai ADUN Paloh, tidak menganggap ia sebagai satu halangan kepadanya untuk terus berkhidmat kepada parti.

"Saya tidak dipilih semula kerana faktor faktor kesihatan...tapi ia tidak menghalang saya untuk turun berkempen dan membantu rakan-rakan saya di bahagian-bahagian lain.

"Saya juga merasakan BN mempunyai peluang cerah untuk menang pada kali ini kerana merasakan angin perubahan yang berlaku di Kelantan ketika ini," katanya selepas mengadakan ceramah di Kampung Semut Api, Pantai Chaya Bulan di sini, malam ini.

Hadir sama, calon BN Parlimen Pengkalan Chepa. yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman dan calon BN DUN Kijang, Wan Shahrul Azuan Wan Ab Aziz.

Nozula, yang tinggal di Paloh, salah sebuah kawasan kubu kuat BN di Gua Musang, kira-kira 140 km dari Kota Bharu, meluangkan masa kira-kira 45 minit berceramah bagi memperjelaskan pelbagai projek pembangunan yang dilakukan kerajaan persekutuan di negeri pimpinan PAS itu.

Bekas ketua pembangkang DUN Kelantan itu yang tempatnya kini digantikan calon muka baharu, Amran Arifin, berkata beliau akan mengadakan ceramah di Parlimen Machang pada malam esok dan Parlimen Rantau Panjang pada malam berikutnya dan telah mengadakan ceramah di DUN Tendong pada malam tadi.

Sementara itu, dalam ceramahnya, Nozula berkata kerajaan persekutuan memberi banyak bantuan kepada Parlimen Gua Musang yang dimenangi BN sejak beberapa penggal lepas.

Beliau berkata antaranya pembinaan 60 rumah baharu di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan penambahbaikan 100 buah rumah di bawah program sama pada setiap tahun.

"Itulah antara kemudahan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan jika sesuatu kawasan itu diwakili oleh BN. Jika menang, pembangunan lebih senang dibawa berbanding di kawasan yang kalah," katanya.

-- BERNAMA