Elak perselisihan, utamakan kepentingan rakyat - Timbalan Perdana Menteri




SIK, 4 Mei (Bernama) -- Para pemimpin di semua peringkat perlu mengelakkan berlakunya perselisihan sesama mereka sebaliknya, ketika ini perlu mengutamakan kepentingan rakyat yang dahagakan pembangunan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menegaskan, sekiranya pemimpin itu bersatu, segala permasalahan rakyat setempat akan mampu diatasi malah kawasan yang diwakili mereka akan menjadi maju.

"Orang luar benci melihat pemimpin bergaduh, rakyat mahukan pembangunan. Jadi pemimpin pakatlah elok-elok. Mereka mahukan pemimpin yang bersatu.




"Kecundang di Kedah dahulu bukan kerana pihak lawan kuat tetapi disebabkan berlakunya perkara ini," katanya ketika berucap pada Program Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik dan Rakyat Daerah Sik di Dewan Al Hana di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sik Dr Mansor Abd Rahman, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantek, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah dan calon DUN Jeneri Mahadzir Abdul Hamid.

Ahmad Zahid berkata sekiranya kerajaan negeri yang dikuasai tidak sealiran dengan kerajaan pusat seperti yang berlaku dahulu, menyebabkan rakyat tidak mendapat pembelaan dan tercicir daripada arus pembangunan.

"Nak dapat apa pun susah bila kerajaan negeri dipegang pembangkang seperti contoh di Perak dahulu, dewan yang kita bina pun tidak boleh digunakan.

"Rakyat Kedah perlu membantu (Menteri Besar Kedah) Datuk Seri Ahmad Bashah (Md Hanipah) pada pilihan raya umum (PRU) kali ini. Cukuplah terseksa (pada PRU12). Ahmad Bashah kawan baik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak...tidak minta apa pun rakyat Kedah akan dibantu," katanya.

Ahmad Zahid juga melahirkan keyakinan bahawa BN masih kuat dan akan memerintah di peringkat persekutuan pada PRU14 kali ini.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat tidak mempercayai pelbagai berita palsu yang tular di laman sosial ketika ini.

"Mereka menggunakan pelbagai pendekatan melalui medium media sosial untuk mewujudkan kebencian terhadap kerajaan. Nasib baik sekarang ada Akta Antiberita Tidak Benar 2018," katanya.

Beliau juga meminta rakyat jangan terperangkap dengan mainan pembangkang terutama DAP apabila mereka bersetuju menggunakan lambang sama yang bertujuan untuk menarik sokongan orang Melayu terhadap mereka.

Ahmad Zahid turut mengingatkan calon-calon BN yang bakal memenangi kerusi masing-masing pada PRU 9 Mei ini agar menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik kerana prestasi mereka itu akan dipantau oleh sebuah badan bebas yang diwujudkan.

"Jika dalam tahun pertama tidak mencapai prestasi, kita akan panggil wakil rakyat tersebut untuk membuat penambaikan. Rakyat juga akan memberi maklum balas terhadap prestasi mereka," katanya.

Kepada warga pendidik, Ahmad Zahid berkata kerajaan sentiasa mengutamakan golongan itu kerana mereka adalah ?opinion leader' (pemimpin pendapat) yang memikirkan kaedah bagaimana membentuk generasi masa depan gemilang.

Katanya mereka perlu bersama-sama kerajaan demi memartabatkan sistem pendidikan negara.

-- BERNAMA