Wisma Wanita Sabah bukti komitmen kerajaan perkasa wanita





Oleh Rohana Nasrah

KOTA KINABALU, 4 Mei (Bernama) -- Wisma Wanita, terletak di Kilometer 3.5 Jalan Tuaran, dekat sini, merupakan bangunan ikonik yang membuktikan komitmen kerajaan negeri diterajui Barisan Nasional (BN) dalam usaha memperkasa pembangunan wanita di Sabah.

Bangunan beroperasi pada 2008 itu memainkan peranan bermakna buat kaum hawa di seluruh pelusuk negeri ini, menjadikan ia satu daripada pembangunan signifikan dibina kerajaan khusus untuk golongan tersebut menjalankan pelbagai aktiviti pemerkasaan potensi wanita dari semasa ke semasa.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) Masnah Matsalleh berkata wanita di negeri ini seharusnya berbangga kerana Sabah adalah negeri pertama mempunyai wisma wanita seumpamanya pada ketika itu sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap peranan wanita sebagai aset pembangunan negeri dan negara.

"Kerajaan negeri sungguh prihatin memastikan ada satu pusat yang membolehkan segala urusan hal ehwal wanita dikendalikan di bawah satu bumbung seterusnya memudahkan JHEWA selaku jabatan dipertanggungjawabkan, mengurus isu-isu berkaitan golongan berkenaan.

"Dengan adanya Wisma Wanita ini juga membolehkan kita merancang program pembangunan wanita dengan lebih teliti dan teratur kerana bangunan ini menempatkan pelbagai kemudahan termasuk pejabat badan bukan kerajaan (NGO) wanita dan pusat latihan kemahiran," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Masnah berkata Wisma Wanita turut menempatkan pusat transit penjagaan kanak-kanak; pusat bantuan guaman untuk kaum wanita mendapatkan khidmat nasihat serta bantuan guaman secara percuma; lot-lot kedai dan pejabat untuk wanita serta kafeteria dikendalikan oleh koperasi wanita.

Beliau berkata penubuhan Wisma Wanita juga dilihat sebagai pengiktirafan terhadap wanita selaras komitmen kerajaan mengarusperdanakan peranan mereka selain memantapkan lagi usaha memajukan golongan itu sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada pembangunan keluarga dan masyarakat.

Mengulas lanjut, Masnah berkata komitmen dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap wanita juga dapat dibuktikan menerusi usaha menaik taraf status JHEWA pada 2003 daripada hanya sebuah unit kepada sebuah jabatan memberi fokus khusus kepada program dan aktiviti pembangunan wanita.

"Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman telah menaik taraf status JHEWA kepada satu jabatan pada 2003, iaitu tahun ketika beliau menerajui pentadbiran kerajaan negeri. Langkah itu bagi memudahkan peruntukan kerajaan disalurkan terus kepada jabatan bagi melaksanakan pelbagai program wanita," katanya.

Masnah berkata peruntukan disalurkan kerajaan negeri kepada jabatan itu juga meningkat dari tahun ke tahun kerana melihat keperluan golongan wanita terutama daripada aspek meningkatkan latihan kemahiran, perniagaan dan keusahawanan.

Menurutnya, penyertaan golongan wanita Sabah berkecimpung dalam bidang keusahawanan juga sudah semakin ketara memandangkan kerajaan negeri ada menyediakan pelbagai saluran dan platform memudahkan mereka mengembangkan potensi perniagaan menerusi galakan pemasaran produk.

"Kira-kira 1,700 wanita mendapatkan pelbagai latihan dari 2013 hingga 2017. Selain itu, kami juga ada satu program yang mendapat sambutan daripada golongan wanita iaitu program pangulin, kami memberi latihan kemahiran urutan bagi wanita selepas bersalin.

"Kini seramai 30 wanita sudah mendapat latihan menerusi program pangulin sekali gus membantu mereka memperoleh pendapatan," katanya.

Dalam pada itu, Masnah berkata keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan wanita tidak boleh dinafikan dan beliau menyifatkan usaha serta komitmen tersebut sebagai satu penghormatan kepada golongan berkenaan demi mensejahterakan mereka.

"Apatah lagi melihat kepada manifesto BN (bagi Pilihan Raya Umum ke-14) yang banyak memberi fokus kepada agenda pembangunan ekonomi wanita, dan sememangnya wajar disokong bagi memastikan kepentingan wanita di Sabah terus terpelihara," katanya.

-- BERNAMA