PRU14: 'Perceraian' PAS, sentimen pengundi, bakal kembalikan dominasi BN di KL
KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- 'Perceraian' PAS dengan pakatan pembangkang serta sentimen pengundi yang kecewa dengan prestasi khidmat wakil rakyat pembangkang sepanjang dua penggal dijangka bakal mengakhiri dominasi pembangkang di Kuala Lumpur pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.
Ini berdasarkan tinjauan Bernama yang mendapati perubahan sentimen pengundi di bandaraya ini menjelang PRU14 ditambah pula dengan transformasi dilakukan Barisan Nasional (BN) serta permuafakatan parti-parti komponen itu yang dilihat telah meredakan 'tsunami politik' kepada pembangkang seperti yang berlaku pada dua pilihan raya umum lepas.
Terdapat 11 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu Kepong, Batu, Wangsa Maju, Segambut, Setiawangsa, Titiwangsa, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras, dan Bandar Tun Razak. Dua lagi Parlimen di bawah Wilayah Persekutuan adalah Putrajaya dan Labuan.
Di Bandar Tun Razak, kebanyakan penduduk menyatakan rasa kecewa selepas tidak menikmati banyak perubahan dari segi pembangunan dan kemudahan sepanjang dua penggal berada di bawah pentadbiran pembangkang.
Menurut mereka calon BN yang diketengahkan kali ini, Adnan Seman, merupakan anak muda setempat yang dikenali ramai melalui aktiviti khidmat masyarakat dan kehadirannya sebagai calon UMNO tidak akan menyukarkan BN untuk merampas semula kerusi itu.
Pengarah Eksekutif syarikat media, Natasha Mokhtar, 33 berkata wakil rakyat sebelum ini tidak banyak membantu menyelesaikan masalah rakyat kerana kemunculannya hanya ketika musim pilihan raya, selain berharap isu kekurangan tempat letak kereta dan penyelenggaraan lif yang lebih efisien dapat diselesaikan.
Bagi Lawrence Ng, 38, yang akan mengundi untuk kali ketiga tahun ini, calon BN dilihat berpotensi kerana bukan sahaja merupakan anak jati Bandar Tun Razak, tetapi mempunyai latar belakang pendidikan cemerlang dan berpendirian tegas dalam menyuarakan isu-isu rakyat.
Rungutan serupa disuarakan penduduk Lembah Pantai yang 'dahagakan' perubahan dan mahu BN kembali memerintah selepas dua penggal ditadbir PKR kerana bagi mereka BN dilihat lebih konsisten dalam mentadbir urus kebajikan penduduk.
Pengerusi Penduduk Pangsapuri Pantai Indah Fasa 2, Abdul Talib Abdullah berkata ramai penduduk mempersoalkan keberadaan wakil rakyat PKR Nurul Izzah Anwar yang didakwa tidak konsisten berkhidmat untuk pengundi hingga menyebabkan mereka hilang kepercayaan pada parti itu.
Perubahan sokongan juga dapat dilihat dalam penurunan jumlah undi majoriti pada PRU13 iaitu 1,847 undi berbanding 2,895 undi yang direkodkan pada PRU12. Pilihan raya kali ini menyaksikan Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dicalonkan semula bagi kerusi Lembah Pantai selepas tewas kepada Nurul Izzah pada 2013.
Calon BN Datuk Dr. Dominic Lau daripada Gerakan di Parlimen Batu dilihat mempunyai peluang cerah apabila sebahagian daripada pengundi PKR dikatakan ingin memboikot PRU14 selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan pencalonan penyandang kerusi itu, Tian Chua, pada hari penamaan calon 28 April lepas.
Tinjauan di beberapa kawasan di Batu mendapati pengundi kini lebih memihak kepada Dominic kerana beliau banyak menyelesaikan isu dan masalah penduduk setempat.
Nazri Taharin, 57, berkata jumlah undi untuk PKR meningkat pada PRU13 disebabkan PAS masih berada dalam Pakatan Rakyat (PR) ketika itu dan kemenangan Tian Chua sebelum ini disebabkan ahli PAS yang mengundi beliau.
Zamani Idrus, 54, yang menetap di Sentul Utara berpendapat bahawa Dominic adalah calon yang lebih sesuai kerana sikap rendah dirinya, sering bersama penduduk mengambil tahu masalah mereka dan membantu menyelesaikan masalah di kawasan itu walaupun bukan seorang wakil rakyat.
Dapatan yang diperolehi boleh disokong dengan pandangan atau analisis Pensyarah Kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali yang mengatakan bahawa antara kawasan-kawasan yang dijangka akan kembali kepada BN pada 9 Mei ini ialah Bandar Tun Razak, Lembah Pantai dan Wangsa Maju.
Menurutnya, faktor yang boleh memberikan kemenangan kepada BN antaranya adalah tindakan PAS keluar daripada pakatan pembangkang dan apabila ini berlaku, PAS membawa keluar bersamanya sebahagian undi atau penyokong pembangkang.
"Sekarang ini, PAS dan Pakatan Harapan (PH) merebut segmen undi atau pengundi yang sama dan ini tentu sekali memberikan kelebihan kepada BN di Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi Bernama.
Pandangan ini turut dikongsi Pakar Strategis Geopolitik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan yang berkata: "Pecah undi akan berlaku kepada pembangkang? tindakan PAS keluar daripada pakatan pembangkang dan kemudiannya merebut kerusi dalam pertandingan tiga penjuru dengan PKR dan BN pada PRU kali ini akan memberi kesan negatif kepada kem pembangkang".
Azmi seterusnya berkata tiga kawasan Parlimen yang dahlunya adalah kawasan kelabu dan kritikal, Bandar Tun Razak, Lembah Pantai dan Wangsa Maju, kini menjadi kawasan putih untuk kem BN.
Katanya BN menggunakan strategi yang tepat di Lembah Pantai dengan mencalonkan semula Raja Nong Chik kerana pengaruh dan sumbangan khidmatnya yang berterusan di kawasan itu akan mendapatkan semula sokongan penduduk Lembah Pantai.
"Bandar Tun Razak pula BN meletakkan calon muka baharu yang tidak ada liabiliti. Manakala masalah dalaman antara UMNO dengan MCA di Wangsa Maju telah diselesaikan dan kini jentera UMNO serta MCA telah berganding bahu.
"Kebarangkalian yang rendah untuk berlakunya sabotaj dalaman antara UMNO dan MCA membuatkan kawasan ini (Wangsa Maju) menjadi sasaran kemenangan BN," kata Azmi.
Dalam pada itu beliau turut menggambarkan pengundi di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur sebagai 'antikerajaan' dan menasihatkan BN supaya menumpukan usaha pada kawasan-kawasan yang boleh menang.
Menurutnya empat kerusi yang disandang BN di Wilayah Persekutuan, Titiwangsa, Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan, dijangka akan dipertahankan dan sentimen atau sokongan rakyat kekal tidak berubah.
Dalam pada itu tinjauan Bernama di Titiwangsa mendapati keadaan selari dengan pandangan Azmi apabila kalangan penduduk yang ditemui berpuas hati dengan pembangunan dan perubahan yang dibawa penyandang dan juga calon BN untuk PRU kali ini, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dan mahu perkhidmatan cemerlang itu diteruskan.
Yang pasti bagi mereka, Johari bukanlah seorang pemimpin atau wakil rakyat yang hanya muncul lima tahun sekali kerana menurut penduduk-penduduk yang ditemui di bahagian Pandan, Kampung Baru dan Keramat, beliau telahpun berkhidmat sebelum dipilih menjadi wakil rakyat lagi.
-- BERNAMA