Zahari sedia sarapan percuma kepada penduduk Batu Anam

Oleh Ahmad Muliady Abdul Majid
SEGAMAT, 4 Mei (Bernama) -- Rezeki yang Allah berikan perlu dikongsi bersama tanpa mengira musim, kata calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip.
Justeru, calon baharu itu menganjurkan program sarapan percuma pada setiap pagi Jumaat sejak pertengahan tahun lepas di rumahnya di Batu Anam untuk mendekati masyarakat di kawasan itu dan sekitarnya dengan lebih dekat.
Beliau berkata program itu diadakan secara tidak sengaja apabila beliau sekeluarga sekadar berkumpul dan bersarapan setiap hari Jumaat, namun jiran-jiran mula datang selepas dipelawa dan setelah mengadakan perbincangan dengan anggota keluarga, beliau membuat keputusan untuk mengadakan program itu secara berterusan.
"Program sarapan percuma ini bermula pukul 8 pagi hingga 10 pagi...lebih kurang 80 hingga 100 orang akan datang berkunjung ke rumah, ada antara mereka yang turut menyumbang makanan seperti nasi dagang, ubi kayu rebus dan nasi lemak untuk dikongsi bersama-sama," katanya kepada Bernama di rumahnya di sini.
Ketua UMNO Bahagian Segamat itu berkata beliau sedia untuk mendengar sebarang cadangan dan buah fikiran yang disumbangkan oleh masyarakat agar dapat mengetahui sendiri dari hati ke hati apa yang sebenarnya diperlukan oleh rakyat untuk disampaikan kepada pucuk pimpinan parti.
Selain bertemu dengannya, penduduk turut menjadikan program itu sebagai tempat berkumpul kerana bukan hanya penduduk di Batu Anam sahaja yang datang ke sini sebaliknya dari tempat lain seperti Jementah, Buloh Kasap, Palong Timur dan juga bandar Segamat, katanya.
Zahari yang juga Senator Dewan Negara berkata walaupun program bermula pada pukul 8 pagi, terdapat juga pekerja kontrak, posmen dan lain-lain turut singgah bersarapan di sini sebelum pergi ke tempat kerja masing-masing.
"Pintu rumah saya sentiasa terbuka untuk semua orang tidak kira apa bangsa ataupun ideologi politik kerana dari kecil saya telah dididik oleh keluarga bahawa rezeki harus dikongsi bersama," katanya.
Zahari dipilih sebagai calon baharu BN menggantikan wakil rakyat sebelum ini, Norshida Ibrahim, bakal berhadapan dengan persaingan satu lawan satu dengan wakil PKR, Norsamsu Mohd Yusof.
Pada PRU lepas, Norshida memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,370 undi sekali gus menewaskan pencabar daripada PAS, Firdaus Masod.
Kerusi DUN Buloh Kasap dilihat sebagai 'deposit tetap' BN yang sebelum ini dipegang oleh veteran UMNO Datuk Othman Jais selama enam penggal berturut-turut sejak tahun 1981.
-- BERNAMA