Ekonomi Malaysia akan berkembang melebihi lima peratus tahun ini
KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Ekonomi Malaysia dijangka mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi lima peratus tahun ini, jika data ekonomi berterusan menunjukkan tanda-tanda peningkatan pertumbuhan, kata Ketua Global Strategi Mata Wang dan Kajian Pasaran FXTM, Jameel Ahmad.
Katanya, pelabur sudah diberikan satu lagi peringatan terhadap keadaan ekonomi Malaysia yang teguh, disokong oleh berita bahawa eksport pada bulan Mac melantun melebihi jangkaan yang mana ia melebihi dua peratus.
"Eksport diramalkan untuk berkembang sekitar 1.7 peratus dan, walaupun, angka pertumbuhan 2018 mungkin memperlihatkan mementum ekonomi yang perlahan berbanding tahun sebelumnya seperti dipaparkan pada tajuk utama berita, perlu diingat bahawa, ekonomi Malaysia secara amnya mengatasi semua jangkaan," tambahnya.
Beliau turut menyatakan bahawa, adalah tidak adil untuk membandingkan angka dagangan pada tajuk berita 2018 berbanding tahun sebelumnya, yang mana adalah satu kebiasaan untuk eksport diumumkan mencapai pertumbuhan melebihi dua angka.
Sebagai tambahan, beliau menjelaskan bahawa, perbincangan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat adalah sangat penting kepada ekonomi global, yang mana ia penting kepada Malaysia, begitu juga ekonomi lain, yang perlu memantaunya, kerana keretakan dalam hubungan antara dua ekonomi terbesar ini akan memberikan risiko negatif kepada perdagangan dunia.
-- BERNAMA