Komited juangkan isu kelapa sawit kelebihan Mah





Oleh Thivyamalini Ramalu

TELUK INTAN, 4 Mei (Bernama) -- Kesungguhan dan komitmen calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong memperjuangkan hak pekebun kelapa sawit merupakan kekuatan untuknya mengekalkan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Selain merupakan anak jati Teluk Intan, kapasiti beliau sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi seiring dengan perkembangan positif industri sawit negara yang telah memanfaatkan lebih 10,000 pekebun kecil juga menjadi kelebihan bagi Mah.

Seorang peladang Mohmad Sayuti Salleh, 64, dari Kampung Banjar di sini berkata Mah kerap turun padang mendengar permasalahan yang dihadapi pekebun selain membangunkan sektor hiliran kelapa sawit.

"Beliau cakap akan berusaha memperjuangkan hak kami, katanya kita kena boikot produk Eropah sekiranya minyak sawit kita tidak diterima lagi," katanya merujuk kepada isu larangan import minyak sawit ke pasaran Kesatuan Eropah (EU).

Antara ladang kelapa sawit yang ada di sini termasuk Ladang Moccis di Jalan Changkat Jong, Ladang Nova Scotia di Batu 5 dan Ladang Jenderata.

Mohmad Sayuti berkata pengalaman Mah dalam portfolio kementerian itu memberi kelebihan buat penduduk di kawasan Teluk Intan sekiranya Mah berjaya mempertahankan kerusi itu.

Kesetiaan Mah terhadap Teluk Intan terbukti biarpun tewas pada PRU 2008 dan PRU 2013, beliau bertanding semula pada Pilihan Raya Kecil Teluk Intan pada 31 Mei 2014, yang diadakan setelah kematian penyandangnya Seoh Leong Peng daripada DAP.

Nyata tuah berpihak kepada Mah apabila pertandingan satu lawan satu menentang calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud membuahkan hasil dengan majoriti 238 undi.

Peniaga R. Sugumar dari Taman Cicely yang menyaksikan sendiri pembangunan di tempat kelahirannya memberitahu Bernama beliau berpuas hati dengan perkembangan Teluk Intan sekarang.

"Kita nak YB (Yang Berhormat) menang kali ini juga, lepas Pilihan Raya Kecil, beliau telah menyediakan pelbagai prasarana termasuk program tebatan banjir dan sekarang impian kami untuk mempunyai universiti sendiri hampir jadi realiti," katanya.

Terbaru dalam manifesto BN Teluk Intan, Mah yang juga Presiden Gerakan mengumumkan penduduk Teluk Intan akan terus menikmati pembangunan dan kesejahteraan menerusi manifesto itu yang bertemakan 'Majulah Teluk Intan, #untukmudenganmu, yang mengandungi lapan teras utama.

Pada PRU14, Mah akan berdepan saingan tiga penjuru melibatkan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming yang bertanding menggunakan nama serta logo PKR serta seorang calon PAS, Ahmad Ramadzan Ahmad Daud.

-- BERNAMA