DAP Pulau Pinang gagal pulihkan Bukit Botak - Teng




GEORGE TOWN, 4 Mei (Bernama) -- Kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang masih gagal memulihkan keadaan Bukit Relau atau lebih dikenali Bukit Botak kepada keadaan asal selepas diterokai pemaju untuk tujuan pembangunan pada 2013, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow.

Beliau berkata keadaan Bukit Botak yang 'dibersihkan' secara besar-besaran pada 2013 itu masih gondol walaupun kerajaan negeri telah meminta pihak pemaju membaik pulih bukit itu.

"Keadaan Bukit Botak ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri tiada komitmen bukan sahaja untuk membaik pulih bukit itu tetapi juga memelihara kehijauan alam sekitar di negeri ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata aktiviti pencerobohan bukit-bukit seperti itu akan mengakibatkan bencana alam berlaku di negeri ini seperti banjir dan tanah runtuh.

Terdahulu, Teng yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Bungah mengadakan lawatan di Bukit Botak bersama calon BN DUN Pantai Jerejak Oh Tong Keong, DUN Batu Uban Hng Chee Wey, DUN Pulau Tikus Loo Jieh Sheng, DUN Kebun Bunga Ooi Zhi Yi dan DUN Air Itam Tan Kah Leong.

Beliau berkata manifesto Pakatan Harapan yang tidak menyentuh mengenai pembangunan bukit itu jelas menunjukkan bahawa mereka masih akan membenarkan pembangunan bukit atau di lereng bukit sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini.

"Pembangunan bukit secara berleluasa ini akan membawa lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan, jadi saya harap pengundi-pengundi di Pulau Pinang akan undi dengan pemikiran yang rasional demi kebaikan semua," katanya.

Teng turut berasa kesal dengan keengganan Ketua Menteri Lim Guan Eng menyertai lawatannya ke Bukit Botak hari ini selepas jemputan disiarkan melalui semua akhbar tempatan.

"Walaupun Lim tidak dapat hadir, beliau seharusnya menghantar wakil kerajaan negeri supaya mereka dapat melihat dengan mata sendiri keadaan Bukit Botak selepas kerja-kerja pembersihan besar-besaran pada 2013," katanya.

Tinjauan Bernama turut mendapati keadaan bukit itu masih tidak ditumbuhi pokok atau rumput sebaliknya terdapat banyak batu bata di sekeliling bukit berkenaan.

Kerajaan negeri pimpinan DAP sebelum ini pernah dikecam oleh pelbagai pihak ekoran isu penggondolan puncak Bukit Relau dengan tahap kemusnahannya dapat dilihat dari Jambatan Pulau Pinang dan syarikat pemaju bertanggungjawab terhadap bukit yang juga dikenali sebagai Bukit Botak itu telah didenda sebanyak RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Pelan Struktur Pulau Pinang 2020 yang diwartakan pada 28 Jun, 2007 melarang pembangunan di kawasan itu yang terletak melebihi 76.2 meter (250 kaki) dari aras laut dan lereng bukit dengan kecuraman melebihi 25 darjah.

-- BERNAMA