Tinggalkan perjuangan mentor, Ismail pertaruh 'Pagoh Untuk Pagoh'

Oleh Syamsiah Sahat
MUAR, 4 Mei (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Pagoh, Ismail Mohamed menyifatkan keputusan untuk tidak berjuang bersama mentornya dua tahun lepas sebagai langkah tepat.
Katanya, malah beliau diberi amanah untuk menentang Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan sekali gus menyingkap memori dua tahun lalu.
"Saya masih ingat, selepas (Muhyiddin) dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, dua tahun lalu, dalam satu pertemuan Tan Sri (Muhyiddin) ada mencuit saya sambil berkata 'silap-silap kita berlawan di sini nanti'.
"Saya tidak sangka dengan mengambil keputusan untuk tetap terus bersama UMNO dan BN, saya dan Tan Sri bakal 'bertarung' di 'gelanggang' Parlimen Pagoh pada PRU kali ini," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
Pemimpin UMNO berusia 47 tahun itu juga menyifatkan pencalonannya sebagai satu amanah rakyat Pagoh dan bersikap tenang dalam menyahut cabaran tersebut apabila Muhyiddin tidak memberi 'muka' kepadanya seperti pada PRU 1990.
Beliau berkata, pada PRU 1990, mantan Menteri Besar Johor, Tan Sri Osman Saat yang keluar daripada UMNO dan menyertai Semangat 46, tidak bertanding kerana mahu memberi kemenangan kepada anak didiknya Muhyiddin namun Ismail menerima nasib berbeza.
"Saya terima cabaran ini (sebagai calon BN pada PRU14) dan menaruh keyakinan tinggi pengundi akan terus memberi mandat kepada BN di Parlimen Pagoh walaupun calonnya bukan lagi orang yang sama," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri.
Mengakui tanggungjawab itu menuntut dirinya bekerja keras, bapa kepada 12 cahaya mata itu berkata beliau lega apabila jentera BN Pagoh dan pusat memberi kerjasama tanpa berbelah bahagi kepadanya.
Enggan berasa selesa, Ismail mempertaruhkan tawaran menarik kepada pengundi Pagoh jika terus diberi mandat melalui manifesto bertema 'Pagoh Untuk Pagoh'
Antara fokus beliau ialah pembangunan modal insan, yang menyasarkan setiap masyarakat Pagoh mempunyai sekurang-kurangnya dua kemahiran dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi mereka.
"Golongan sasaran kita ialah belia, wanita dan orang kurang upaya. Kita akan wujudkan satu lagi pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Bukit Pasir sebagai tambahan kepada tiga sedia di Bukit Kepong," katanya yang menerima anugerah Tokoh Belia Johor pada 2008.
Turut dicadangkan ialah pembinaan Terminal Bas dan Pengangkutan Pagoh apabila pelan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura bagi stesen Pagoh dimuktamadkan kelak.
Selain itu, pembangunan sebuah bandar baharu di persisiran Sungai Panchor berhampiran Bandar Universiti Pagoh turut dirancang.
Ismail berkata, pembangunan bandar itu, merangkumi rumah kedai, ruang niaga untuk belia berniaga dan ruang aktiviti kebudayaan dan riadah, adalah kesinambungan projek pembangunan sedia ada dan yang telah dirancang dua tahun lepas sejak beliau memangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh.
Bagi PRU14, Ismail berdepan pertandingan tiga penjuru dengan Ahmad Nawfal Mahfodz (PAS) dan Muhyiddin (PKR-PPBM) untuk merebut kerusi Parlimen Pagoh yang mempunyai 51,512 pengundi berdaftar kali ini.
-- BERNAMA