Jangan masukkan unsur politik dalam ceramah di masjid - Ahmad Bashah
ALOR SETAR, 4 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini mengingatkan supaya semua penceramah yang ingin mengadakan ceramah di dalam masjid supaya tidak memasukkan unsur politik bagi menjaga kesucian dan kemuliaan tempat ibadah.
Beliau berkata ia adalah atas titah Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan arahan telah diberikan kepada Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) untuk mengeluarkan pekeliling bagi memastikan sebarang bentuk ceramah, tazkirah atau penerangan yang dijalankan di dalam masjid tidak mengandungi elemen kempen parti politik.
"Kalau hendak buat ceramah dan program agama macam biasa boleh tetapi kalau dalam ceramah itu penceramah ada sebut nama mana-mana parti politik, itu tidak dibenarkan kerana kita hendak jaga kesucian tempat ibadah selain tidak mahu berlaku pergaduhan.
"Sekiranya penceramah yang dijemput itu masih memasukkan unsur politik dalam ceramahnya, orang ramai yang berada di dalam masjid tidak boleh mengambil tindakan sendiri seperti menghalau atau bergaduh sebaliknya memaklumkan kepada imam atau jawatankuasa kariah masjid untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada Bernama selepas merasmikan program bersama komuniti Masjid Al-Rahmah di sini, hari ini.
Ahmad Bashah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian seorang guru agama jemputan diserang dengan kata-kata kesat oleh sekumpulan lelaki dipercayai penyokong gabungan pembangkang di Masjid Sungai Seluang, Kulim, semalam.
-- BERNAMA