Pembangkang main taktik kotor manipulasi tindakan SPR - Mah
TELUK INTAN, 4 Mei (Bernama) -- Pembangkang disifatkan bermain taktik kotor dengan menularkan video yang memanipulasi tindakan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengarahkan ejen calon bertanding di kawasan Parlimen Teluk Intan menurunkan poster yang menghalang laluan.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Teluk Intan Datuk Seri Mah Siew Keong berkata video itu yang mendakwa badan bebas itu hanya menurunkan bendera parti pembangkang juga adalah keterlaluan kerana poster semua parti yang terbabit termasuk BN diminta diturunkan.
"Video yang ditularkan pembangkang itu dilihat seolah-olah sengaja memperlekehkan kewibawaan SPR sedangkan semua wakil calon parti yang bertanding berada di lokasi kejadian.
"Ini adalah satu berita palsu dan mereka (pembangkang) seolah-olah sudah mengatur untuk merakam video (wakil PKR menurunkan bendera) dan viralkannya," katanya kepada pemberita selepas menziarah Rumah Titian Asraful Rohani bersempena program Amal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kampung Selabak di sini, hari ini.
Presiden Gerakan itu berkata arahan menurunkan bendera parti politik yang diletakkan di laluan beberapa jalan dan persimpangan di bandar Teluk Intan oleh SPR menerusi ejen calon sendiri adalah kerana telah menghalang pemandangan dan merisikokan keselamatan pengguna jalan raya.
"Saya tahu di Teluk Intan ini tindakan itu diviralkan dan dijadikan propaganda jahat yang tidak tepat termasuk penyebaran risalah palsu memburukkan BN (Barisan Nasional) malah gambar calon BN juga dikoyakkan.
"Jadi saya nasihatkan jentera BN jangan terpengaruh dengan cara dan budaya samseng pembangkang dan saya minta jangan membalas perbuatan mereka, biarlah rakyat menentukan," kata Mah yang akan mempertahankan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini.
Sementara itu, Pengerusi BN Teluk Intan yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong, Datuk Mohad Azhar Jamaluddin berkata beliau kesal dengan tindakan provokasi jahat dan penyebaran video tidak tepat oleh pembangkang itu kerana ia boleh memberikan persepsi negatif terhadap SPR sedangkan semua parti yang bertanding juga turut diminta menurunkan bendera.
Beliau berkata tindakan 'cuba menangguk di air keruh' melalui rakaman video yang bagaikan sudah dirancang itu perlu dikenakan tindakan tegas termasuk mengguna pakai Akta Antiberita Tidak Benar 2018.
Katanya, pihaknya akan membuat laporan polis bagi memastikan dalang yang menyebarkan video berkenaan dibawa ke muka pengadilan selain meminta Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia menjalankan siasatan.
-- BERNAMA