PRU14 : Perang bendera di Terengganu paling meriah





Oleh Zalina Maizan Ngah

KUALA TERENGGANU, 3 Mei (Bernama) -- Memasuki Terengganu, seperti juga di negeri lain pada musim Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini, selain keindahan pantai, pengunjung akan dijamu pemandangan sekitar yang dipenuhi dengan poster dan bendera dua parti politik tradisi di sini ? Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Dari Besut hingga Kemaman ada antara bendera parti yang dicacak di tanah, berkibar di awang-awangan serta terapung pada permukaan air, sehingga mewujudkan rasa kagum dengan kesungguhan jentera parti memasang bendera itu.

Lebih menarik, ramai kalangan anak muda menunjukkan kreativiti menggunakan bendera parti serta poster dengan membentuk pelantar minyak siap dengan obor, replika aneka jenis pengangkutan seperti helikopter, jet pejuang, bas; wau bulan serta gajah.

Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid yang sempat membuat tinjauan mengenai bahang kempen PRU14 di Terengganu baru-baru ini menyatakan kekagumannya dan setelah mengunjungi hampir seluruh negara, Terengganu dikatakan paling meriah.

Perang poster, katanya walaupun tidak menjanjikan kemenangan, namun dalam berkempen ia melambangkan kesungguhan, kerjasama dan kemampuan serta kekuatan sesebuah parti.

Mengulas mengenai bahang kempen, Syed Arabi berkata hingga kini hanya PAS dan BN dilihat agak agresif berkempen berbanding PKR, namun sikap berhati-hati BN dalam mengeluarkan kenyataan terhadap PAS membolehkan mereka bergerak dengan lebih selesa.

"PKR pula lebih banyak memainkan isu kebencian terhadap pemimpin BN, malah ketika Tun Dr Mahathir Mohamed hadir ke Dungun pada 30 April lalu, beliau lebih banyak menghentam peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak," katanya kepada Bernama.

Mengenai penilaiannya dalam PRU ini, beliau berkata ia terlalu sukar ditentukan kerana faktor pengundi yang sukar ?dibaca' ke arah mana pilihan mereka kali ini tetapi yakin pendekatan PAS yang masih menjadikan agama sebagai umpan kempen mereka sudah kurang diterima masyarakat.

Sementara itu menerusi tinjauan, rata-rata ceramah yang melibatkan calon parlimen mahupun dewan undangan negeri kelihatan hambar dan kurang mendapat sambutan, ada ketikanya penonton hanyalah tiga orang dan ada juga hanya penceramah dan pengiringnya sahaja.

Keadaan itu bukan sahaja berlaku kepada PKR dan BN tetapi juga PAS meskipun pada pilihan raya umum lalu, ceramah mereka akan dihadiri ratusan pendengar, namun program sebegitu kini tidak mendapat sambutan.

Ada ketikanya dalam tempoh enam hari berkempen, beberapa siri ceramah kempen pilihan raya, hanya dihadiri kira-kira 10 hingga 20 pendengar sahaja, namun dengan adanya teknologi, kesemua parti dilihat memanjangkan ceramah mereka ke dalam aplikasi laman sosial sama ada Facebook, Twitter atau WhatApps.

Aura ketokohan kepimpinan seseorang calon masih menjadi faktor utama dalam mengumpul hadirin untuk mendengar ceramah contohnya kehadiran Dr Mahathir ke Dungun hingga kira-kira 5,000 orang hadir, begitu juga apabila Presiden PAS yang juga calon Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang berceramah di Rusila, Marang.

Esok, Najib akan turun ke dua lokasi iaitu di Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu, yang pastinya bakal menarik ramai penduduk setempat untuk hadir mendengar amanat dan janji BN.

Selain itu, merungkai persoalan tentang momentum BN dalam usaha meraih kemenangan, Menteri Besar yang juga calon DUN Seberang Takir Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata BN kini sudah melebihi sasaran dan yakin mampu menangani segala isu dengan baik.

Pada peringkat awal selepas pencalonan, pelbagai desas desus dan rasa tidak puas hati timbul, namun ia berjaya diatasi dalam tempoh singkat malah jentera parti menunjukkan kesungguhan untuk terus bekerjasama.

"Jika dinilai momentum kita (BN) daripada angka satu hingga ke-10, BN kini telah melebihi tahap ketujuh dan tidak memerlukan masa lama untuk ke tahap maksimum. Jentera kini telah siap siaga untuk 'berperang' pada hari pengundian.

"Mengenai calon BN, kesemuanya adalah yang terbaik dan ada antara mereka yang pernah bertugas sebagai penyelaras DUN dan dengan itu telah lama dekat dengan masyarakat. Sebelum ini tidak pernah timbul perkara negatif mengenai calon ini. Kita yakin akan menang lebih besar kali ini," katanya.

-- BERNAMA