BN akan terus tingkatkan syiar Islam di Terengganu - PM




KUALA BERANG, 4 Mei (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi jaminan akan terus memartabatkan syiar Islam di Terengganu yang menjadi antara tapak bermulanya Islam berkembang di Nusantara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan BN mempunyai pelbagai perancangan bagi merealisasikan matlamat itu termasuk mendirikan sebuah Universiti Al-Quran yang merupakan manifesto BN negeri.

Bagaimanapun, katanya rakyat perlu terus memberikan mandat untuk BN memerintah negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini jika mahu melihat manifesto itu dilaksanakan.

"Apa pun kita (BN) kena menang... ada habuan yang bakal menanti… akan saya bincang perkara ini dengan Menteri Besar dan wakil rakyat apa yang perlu dilakukan (jika BN menang) ... ini komitmen saya.

"Di sini Islam telah (mula) bertapak di Hulu Terengganu dan negeri di mana berkembangnya Islam... semoga Allah bagi kemenangan besar dan bergaya (kepada BN) di negeri Terengganu (pada PRU14) nanti," katanya ketika berucap merasmikan Program Mesra Rakyat bersama Perdana Menteri di Daerah Hulu Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong.

Sehubungan itu, Najib berkata rakyat perlu membuat pilihan yang tepat pada hari pengundian 9 Mei ini dengan memilih kerajaan yang mengutamakan Islam dan keperluan umatnya.

Bukan memilih parti yang mempergunakan pemimpin Melayu lain yang zalim untuk meraih undi orang Melayu sedangkan dalam masa yang sama tidak berniat memartabatkan Islam, katanya.

"Kita (BN) mempunyai manifesto yang lebih baik daripada pembangkang… dua tiga hari lepas dalam YouTube ada seorang pemimpin pembangkang (timbalan ketua menteri Pulau Pinang Dr P. Ramasamy) mengatakan mereka memilih Tun Dr Mahathir (Mohamad sebagai calon perdana menteri) hanya untuk meraih undi orang Melayu.

"Itu agenda mereka… jika mereka memerintah adakah mereka akan sokong penubuhan Universiti Al-Quran? adakah dasar kerajaan yang mahu melahirkan 125,000 huffaz dapat diteruskan" akhirnya jika undi pembangkang hanya akan merosakkan kita," katanya.

Najib turut menafikan BN kerajaan yang zalim berbanding ketika pentadbiran Dr Mahathir selama 22 tahun yang menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menyekat musuh politiknya.

"Saya hairan Tun Mahathir boleh kata saya zalim, tapi saya kah yang bawa orang masuk dalam lokap ISA?," katanya.

Bagi memastikan kemenangan besar BN di Terengganu, perdana menteri berkata ia memerlukan komitmen semua pihak termasuk calon yang bertanding dan berharap tiada masalah dalaman seperti 'peteh keting' berlaku pada PRU14 ini.

"Kita tidak mahu kemajuan yang sekerat-sekerat jika asyik bertukar pemerintah… minta semua pihak rapatkan barisan dan tidak mahu dengar ada masalah dalaman atau berlaku peteh keting," katanya.

Najib pada majlis itu turut menerima permohonan Ketua UMNO Cawangan Kampung Langgar Raja Ahmad Soufi Sulaiman supaya penggantungan keahliannya selama enam tahun sejak Januari lalu selepas didapati melanggar etika parti, ditarik balik.

-- BERNAMA