Guna lambang PKR, strategi DAP pancing undi kaum lain - Mohamad
SEREMBAN, 4 Mei (Bernama) -- Tindakan DAP menggunakan lambang PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah strategi parti dominasi kaum Cina itu untuk memancing undi kaum lain, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata jentera BN tidak perlu bimbang dengan strategi yang digunakan parti pembangkang itu dan sebaliknya perlu terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat khususnya yang memerlukan bantuan.
"Kita (BN) kempen cara kita, yang penting jangan kita buruk-burukkan orang," kata Menteri Besar kepada pemberita selepas merasmikan Bilik Gerakan MCA Seremban di sini hari ini. Turut hadir calon BN Parlimen Seremban Datuk Chong Sin Woon.
Beliau berkata jentera parti juga perlu berusaha lebih giat untuk memperkenalkan calon-calon BN khususnya muka baharu kepada masyarakat.
"Akhirnya rakyat yang akan membuat keputusan (mengundi). Saya lihat rakyat negeri ini selesa dengan BN," kata Mohamad yang menang tanpa bertanding bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada hari penamaan calon 28 April lepas.
-- BERNAMA