Naib Presiden PBS nafi lompat parti
KOTA KINABALU, 4 Mei (Bernama)-- Seorang naib presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini menafikan beliau telah melompat parti.
Datuk Michael Asang tetap merupakan penyokong kuat PBS.
Merujuk kepada sekeping gambar yang disuai pinda dan dimuat naik di laman Facebook, yang menunjukkan beliau memegang dua bendera parti pembangkang, Asang berkata ia merupakan perbuatan pesaing BN yang kini berada dalam keadaan terdesak.
"Jelas sekali, pembangkang begitu terdesak untuk memenangi pilihan raya umum kali ini dan oleh itu mereka menggunakan pelbagai cara untuk mengelirukan rakyat. Ini tidak lebih daripada satu taktik murahan bagi mengelirukan penyokong kami (BN).
"Sebenarnya, ia (gambar berkenaan) adalah sebaliknya. Saya memegang bendera PBS dan BN bagi mengalu-alukan penyertaan anggota baharu daripada Parti Warisan. Malah, calon BN bagi N40 Labuk, Abdul Rahman Kongkawang, juga menghadiri majlis itu," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau menyeru semua penyokong BN supaya memberi undi mereka kepada pengantinya (Abdul Rahman) Rabu ini (9 Mei).
Sementara itu, Asang, 70, yang menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri Labuk selama empat penggal sejak 1999, memberitahu Bernama baru-baru ini bahawa beliau mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi itu, yang dimenanginya bagi kali terakhir pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
"Saya jadi wakil rakyat sejak 1986. Saya semakin berusia. Kini tibalah masanya untuk saya berehat dan meluangkan masa dengan keluarga," katanya.
Asang juga berkhidmat sebagai Anggota Parlimen Jambongan selama dua penggal.
-- BERNAMA