Ceramah anjuran PKR tidak dapat permit kebenaran polis dan SPR




KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Ceramah Solidariti anjuran PKR yang diadakan di hadapan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul di sini, malam ini, tidak mendapat sebarang permit daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy ketika dihubungi Bernama berkata polis hanya menerima sekeping surat daripada parti Pakatan Harapan yang menyatakan akan mengadakan ceramah berkenaan.

"Mereka (PKR) hanya menghantar surat permohonan untuk mengadakan perhimpunan ceramah pada sebelah petang tadi, namun polis tidak memberi kebenaran kerana mereka tidak mempunyai calon yang bertanding di kawasan itu.

"Selain itu, surat permohonan perlu dihantar 10 hari sebelum ceramah berkenaan berlangsung,"katanya.

Munusamy berkata polis menjalankan siasatan mengikut Sekyen 9 Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 kerana penganjur sudah melanggar peraturan yang ditetapkan."

Calon bebas P. Prabakaran seharusnya memohon permit mengikut Akta Pilihan Raya tetap beliau tidak berbuat demikian," katanya.

Munusamy berkata polis berada di lokasi berkenaan bagi mengawal keadaan semasa ceramah itu.

Ceramah Solidariti PKR di hadapan UTC Sentul diadakan kerana Naib Presiden PKR, Tian Chua gagal dalam saman pemulanya terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mencabar keputusan menolak pencalonan beliau bertanding di kerusi Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ceramah malam ini diadakan bagi memperkenalkan P. Prabakaran, calon bebas yang kini bertanding sebagai calon wakil PKR pada PRU14.

Ceramah itu menyebabkan kesesakan jalan raya di sekitar PPR Sri Perak.

--BERNAMA