BN dijangka mampu tawan kembali Sungai Petani




SUNGAI PETANI, 5 Mei (Bernama) -- Selepas dua penggal dikuasai pembangkang, kerusi Parlimen Sungai Petani kini dianggap kawasan 'hitam' bagi Barisan Nasional (BN) namun langkah parti itu mengetengahkan calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini dijangka mampu mengubah keadaan tersebut.

Tanggungjawab merampas semula kerusi itu daripada PKR yang mempertaruhkan penyandang dua penggal Datuk Johari Abdul dipikul Timbalan Ketua UMNO Sungai Petani Datuk Shahanim Mohd Yusoff, 45 yang merupakan muka baharu dan satu-satunya calon wanita BN Kedah pada PRU14 ini.

Pakar Geostrategis Azmi Hassan berkata strategi BN meletakkan calon wanita di kawasan itu mampu membuahkan hasil positif kerana menawarkan nafas baharu yang sememangnya diperlukan penduduk Sungai Petani.

"Tidak dinafikan penyandang kerusi Parlimen ini bukan calang-calang orangnya kerana dianggap orang kuat PKR selain telah menyandang selama dua penggal, tetapi BN cuba memberi sesuatu yang baharu kepada pengundi iaitu calonnnya adalah wanita dan juga muka baharu golongan muda."

"Memandangkan Datuk Shahanim juga berasal dari kawasan yg mempunyai lebih 50 peratus pengundi wanita maka nafas baharu inilah yg diperlukan masyarakat Sungai Petani yang lebih 10 tahun terperangkap dalam percaturan politik yang mengakibatkan Sungai Petani tertinggal sedikit daripada arus pembangunan," katanya kepada Bernama.

Selain itu katanya kerusi tersebut juga menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan kehadiran PAS yang akan memecahkan undi PKR, sekali gus memberi manfaat kepada BN.

Selain PAS yang meletakkan Sharir Long, kerusi itu turut menarik perhatian Parti Rakyat Malaysia yang mempertaruhkan P. Sritaharen sebagai calonnya.

Tinjauan Bernama dalam kalangan pengundi mendapati rata-rata menyambut baik langkah BN meletakkan calon wanita yang juga anak tempatan.

Shuib Abdul Razak, 64, berkata sebagai penduduk serta pengundi di Parlimen Sungai Petani dia sangat berharap calon wanita itu menang pada PRU14 ini sekali gus menjadi wakil rakyat mereka untuk tempoh lima tahun akan datang.

Katanya Shahanim calon paling layak berikutan beliau merupakan anak tempatan yang sudah tentu lebih mengetahui kehendak dan keperluan penduduk setempat selain suka turun padang mendekati golongan memerlukan tanpa mengira masa.

"Datuk Shahanim suka berdamping dengan orang kampung, selalu beramah mesra tak kira masa, tambahan pula beliau anak tempatan, apa guna bagi (kemenangan) jauh daripada orang kita, jadi saya harap dia menang...wakil rakyat sekarang namanya saya tahu, tetapi saya tak berapa kenal sangat. Kalau ada masalah apa-apa setahu saya orang akan cari Datuk Shahanim," katanya.

Zaharah Hashim, 33, yang juga orang kelainan upaya (OKU) dalam kategori masalah pembelajaran pula meyakini kemampuan Shahanim memperjuangkan nasib golongan wanita terutamanya ibu tunggal serta OKU jika menjadi wakil rakyat nanti.

"Harap beliau menang sebab boleh bantu kita golongan wanita dan OKU...wakil rakyat la ni (sekarang) tak ambil tahu OKU kita. Macam saya sendiri tak kerja sebab masalah kesihatan, hanya harap duit JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) sahaja RM250, mak saya pula ibu tunggal dan juga tak bekerja, jadi golongan macam kami memang memerlukan bantuan dan sokongan daripada wakil rakyat," katanya.

S. Jeeva, 42, pula berkata sebagai wanita dia akan memberikan sokongan penuh kepada Shahanim yang mudah didekati serta aktif bantu masyarakat.

"Saya sendiri harap beliau menang. Kalau wakil rakyat sekarang tidak ada buat sebarang pembangunan di sini, nama pernah dengar tetapi saya tak pernah jumpa itu wakil rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Shahanim berkata beliau optimis dengan kekuatannya untuk merampas kembali Sungai Petani berikutan 52 peratus daripada 112, 577 keseluruhan pengundi di Parlimen itu merupakan golongan wanita yang diyakini akan memberikan sokongan penuh kepadanya.

"Kekuatan saya ialah pengundi wanita itu sendiri... saya seorang wanita pastinya saya memahami wanita. Kita wanita ini lebih prihatin bab kebajikan, pendidikan, kalau orang bagi tau ada budak tak makan ka, ada budak tak pi sekolah ka, miskin ka, kita akan lebih cepat bertindak," katanya.

-- BERNAMA