Sakit saraf tidak halang bekas tentera keluar mengundi





KUANTAN, 5 Mei (Bernama) -- Menghadapi kesukaran bergerak akibat sakit saraf tidak menghalang seorang bekas tentera untuk menunaikan tanggungjawab pada sesi mengundi awal bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Sekolah Kebangsaan Pangkalan Tentera, Kem Batu 10, di sini, hari ini.

Ahmed Ikraam Napiah, 32, yang berkerusi roda dan disorong isterinya, Subaidah Osman, 30, merupakan antara 6,158 pengundi yang menunaikan tanggungjawab mereka di pusat mengundi berkenaan.

"Walaupun kurang sihat, tetapi rugi rasanya kalau hendak melepaskan peluang mengundi lima tahun sekali ini," katanya perlahan-lahan dan sukar untuk menuturkan setiap patah perkataan ketika ditemui Bernama di sini.

Beliau yang mula berkhidmat sebagai anggota polis tentera di Kem Lok Kawi, Sabah sejak 2006, sebelum berpindah ke Kem Batu 10 di sini pada 2009, berkata penyakit itu mula menyerang dirinya pada 2010, selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya semasa pulang daripada kerja.

Anak jati Kuantan yang mengundi untuk Parlimen Pekan itu berkata sejak itu, pertuturannya semakin terbatas sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di ibu negara.

Ditamatkan perkhidmatan Februari tahun ini pada tempoh perkhidmatan hanya mencecah 12 tahun, beliau kini dalam proses memohon taraf berpencen.

"Saya mohon pertimbangan kerana saya masih menanggung isteri saya dan seorang anak lelaki berusia empat tahun," katanya.

Di Pahang seramai 21,358 anggota tentera dan polis serta pasangan masing-masing mengundi awal di 48 pusat pengundian di negeri ini dan daripada jumlah itu 4,325 merupakan anggota tentera selain 7,033 anggota polis serta pasangan masing-masing.

-- BERNAMA