Slogan pembangkang menggugat perpaduan dan keharmonian rakyat, kata penganalisis





Oleh Emin Madi

KOTA KINABALU, 5 Mei (Bernama) -- Perpaduan mantap parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) lebih meyakinkan rakyat berbanding gabungan pembangkang yang rapuh, mengelirukan serta berpuak-puak, kata seorang penganalisis politik Sabah.

Abdul Jalil Ghani berkata kekeliruan terhadap gabungan pembangkang timbul berikutan wujudnya tiga kumpulan yang berbeza impian politik dan ini mengakibatkan perpecahan dan perbalahan yang tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah.

"Tuduh menuduh di kalangan mereka (parti-parti pembangkang) akan mengakibatkan persengketaan agama dan perkauman, kerana mereka akan berusaha memperdaya parti-parti yang lain."

"Ini sangat berbeza dengan parti-parti komponen BN yang kukuh, tiada perselisihan dan sentiasa mengamalkan semangat setiakawan," katanya kepada Bernama.

Abd Jalil, lulusan sarjana Sains Politik, juga menyifatkan slogan 'Ubah Sabah' yang dicanang oleh parti Warisan sebagai retorik politik yang sangat mengelirukan rakyat.

Katanya, parti Warisan sudah berjaya memecah-belahkan perpaduan dan keharmonian rakyat Sabah kerana slogan 'Ubah Sabah' banyak berunsurkan perkauman dan keagamaan.

"Ubah Sabah tidak menguntungkan rakyat baik untuk jangka pendek atau jangka panjang kerana ia diilhamkan oleh orang-orang yang berkepentingan yang mahu mengubah Sabah kerana niat dendam dan nafsu mahu berkuasa."

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, adalah bekas Naib Presiden UMNO dan digugurkan dalam rombakan kabinet kerana tidak ada semangat berkumpulan dalam kerajaan.

"Atas dasar mahu menentang BN, Warisan memilih slogan 'Ubah Sabah' hanya kerana mahu berlainan dengan slogan Gabungan Sabah ?Sabah untuk rakyat Sabah'," katanya.

Menurut Abdul Jalil, jika diteliti daripada sudut kredibiliti dan keikhlasan pemimpin yang mahu mengubah Sabah, maka impian mereka itu jelas berdasarkan niat, dendam dan nafsu mahu berkuasa.

"Dalam soal perubahan, rakyat harus ditanya apakah yang mahu diubah sedangkan negeri Sabah sudah begitu stabil dan berada di landasan yang betul ke arah kecemerlangan dan maju jaya," katanya.

Abdul Jalil berkata pentadbiran Kerajaan BN Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, sudah berjaya menstabilkan ekonomi negeri Sabah.

Peratusan kemiskinan sudah turun sehingga ke 2.9 peratus. Negeri Sabah begitu pesat membangun manakala keharmonian dan kesejahteraan rakyat juga kukuh, katanya.

Mengenai beberapa orang 'pelarian' daripada UMNO yang berkumpul di dalam parti Warisan, Abdul Jalil berkata tindakan mereka itu tidak memberi apa-apa kelebihan kepada parti Warisan.

"Orang-orang ini sudah melalui masa kegemilangan dan dianggap lapuk dalam UMNO. Mereka merasakan diri mereka tidak dapat bersaing dengan kehadiran banyak pelapis pemimpin dalam UMNO," katanya.

"Kehadiran mereka (pelarian UMNO) juga mengesahkan hasrat Shafie untuk berkuasa semula dan Shafie sangat terdesak dan merasakan pemimpin-pemimpin yang sedia ada dalam Warisan seperti Darrel Leiking, Terence, Junz dan Jaujan tidak cukup untuk memberi impak," katanya.

Abdul Jalil juga menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya masyarakat Brunei terpinggir dalam BN.

"Bukan semua permintaan kaum boleh dipenuhi melalui jawatan kabinet. Ada banyak di antara mereka (masyarakat Brunei) sudah menduduki jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam, badan-badan berkanun dan juga syarikat milik kerajaan."

"Malahan, sudah dua orang Brunei dilantik menjadi Duta Malaysia di luar negara," katanya.

-- BERNAMA