Sabas akan pastikan anggotanya bantu kemenangan BN
SANDAKAN, 5 Mei (Bernama) -- Persatuan Bangsa Sungai Sabah (Sabas) akan memastikan kesemua kira-kira 5,000 anggotanya menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-p14 ini.
Presidennya Datuk Juhari Janan berkata ini kerana BN mempunyai rekod yang baik dalam melaksanakan pembangunan di negeri itu.
"BN Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman punya rekod baik membangunkan negeri ini untuk memastikan rakyat negeri ini yang terdiri pelbagai kaum dapat hidup sejahtera," katanya pada Majlis Solidariti Orang Sungai Sabah yang turut dihadiri Musa di sini, malam tadi.
Menurutnya perjuangan persatuan itu selari dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh perpaduan dalam kalangan bangsa Sungai di negeri ini.
Pada masa sama, katanya persatuan itu juga memperjuangkan kebudayaan dan warisan bangsa itu.
Sementara itu, Musa dalam ucapannya berkata perpaduan antara kaum menjadi elemen penting kepada pembangunan selain mewujudkan suasana harmoni di Sabah.
Sehubungan itu katanya beliau sentiasa menyokong mana-mana persatuan berasaskan suku dan kebudayaan di negeri berkenaan.
"Kita di Sabah ada pelbagai suku, kaum dan agama tetapi tapi dapat hidup aman dan harmoni," kata Musa yang juga Pengerusi BN Sabah.
-- BERNAMA