Calon BN ingin selesai masalah pengundi di Kota Darul Aman
Oleh Ima Aimi Nadia Ibrahim
ALOR SETAR, 5 Mei (Bernama) -- Calon muka baharu Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Darul Aman, Tan Eng Hwa, 45, tekad untuk menawan hati pengundi di kawasan itu sekali gus mendapatkan mandat sebagai wakil rakyat untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.
Menggunakan moto 'Ready2Serve' dalam mendekati pengundi, Naib Pengerusi MCA Bahagian Alor Setar itu komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di situ selain akan membantu menyelesaikan masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh pembangkang sebelum ini.
Beliau berkata dalam tempoh 10 tahun pembangkang menguasai DUN tersebut, banyak masalah penduduk tidak dapat diselesaikan oleh wakil rakyat pembangkang terdahulu termasuklah masalah yang dihadapi oleh penghuni di Flat Simpang Kuala.
"Penduduk di flat tersebut berdepan dengan masalah seperti kebocoran tangki, tiada lampu, kawasan letak kenderaan yang tidak efisien dan kebersihan persekitaran yang tidak terurus...perkara ini telah berlanjutan sehingga menyebabkan penghuni menjadi tawar hati."
"Visi saya adalah untuk membantu penduduk di DUN ini tetapi saya perlu ada 'status' kerana kalau tidak susah hendak buat kerja sebab itu mereka perlu beri kuasa dan mandat bagi membolehkan saya memperjuangkan nasib mereka," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Tan yang merupakan anak jati Alor Setar itu berkata beliau bersama calon Parlimen Alor Setar Datuk Yoo Wei How juga mempunyai pelan untuk menjadikan Alor Setar sebagai kawasan tarikan pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong luar mengunjungi Kedah.
"Alor Setar ini banyak tempat yang boleh diketengahkan contohnya di Pekan Melayu, Pekan Cina dan Tanjung Chali. Sebelum ini, pelancong hanya akan singgah di Alor Setar untuk makan atau membeli-belah sebelum meneruskan perjalanan ke Langkawi atau Thailand."
"Bila tiada tempat yang menarik maka orang tidak akan datang dan sebab itu, kami hendak jadikan Alor Setar sebagai sebuah bandar yang lebih hidup dan baik berbanding sebelum ini. Bila dapat tarik tumpuan pelancong sekali gus pertumbuhan ekonomi di negeri ini juga semakin baik," katanya.
Sementara itu, Tan yang buat pertama kalinya bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) berhadapan pertandingan empat penjuru dengan calon Pakatan Harapan (PH) Teh Swee Leong, Zulkifli Che Haron (PAS) dan calon daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) Tan Kang Yap.
"Saya sudah berada dalam politik selama 18 tahun dan ini merupakan kali pertama saya bertanding dalam PRU selepas diberi kepercayaan oleh kepimpinan tertinggi untuk mewakili parti dan saya akan buat sehabis baik bagi memastikan kerusi yang dipegang pembangkang selama dua penggal ini dapat dirampas kembali."
"Pertembungan kali ini juga menarik kerana empat penjuru. Ada antara calon yang bertanding bukan anak jati Alor Setar tetapi apa pun saya hormat dan tidak memandang rendah kemampuan pesaing saya kerana apa juga boleh berlaku," katanya.
Katanya, sekiranya memenangi kerusi tersebut dia tidak menyasarkan majoriti undi yang tinggi kerana corak pengundian sekarang sudah tidak sama seperti dahulu.
Tan yang juga seorang peguam berkata beliau melihat berlaku 'swingback' (pengembalian) dalam kalangan pengundi Cina yang kembali kepada BN pada PRU14 berbanding PRU13 namun tidak dapat menjangka berapa jumlah pengundi yang akan kembali memilih BN.
"Di DUN Kota Darul Aman, 60 peratus penduduk terdiri daripada kaum Cina, lebih 30 peratus kaum Melayu, India (tujuh peratus) dan selebihnya kaum lain, jadi saya lihat ada pengundi Cina yang kembali memilih BN dan sekiranya kita mendapat kepercayaan mereka tidak mustahil untuk BN menang di Parlimen Alor Setar, DUN Suka Menanti, Kota Darul Aman dan Alor Mengkudu."
"Saya juga yakin kalau kita menang 4-0 banyak inisiatif yang akan kita dapat kerana itu juga merupakan salah satu janji yang telah diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika datang ke Alor Setar pada 22 April lalu dengan syarat Alor Setar membiru dengan BN," katanya.
-- BERNAMA