Tindakan parti gugur keahlian dua veteran UMNO wajar - Hishammuddin
SEGAMAT, 5 Mei (Bernama) -- Tindakan menggugurkan keahlian dua veteran UMNO yang terlibat dengan kempen pembangkang adalah wajar, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengumumkan pengguguran dua veteran itu iaitu bekas-bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin susulan tindakan mereka menyokong pembangkang selain menghentam parti berkuatkuasa semalam.
Sementara itu, Tengku Adnan berkata seorang lagi veteran Umno Tan Sri Dr Rais Yatim masih disiasat berhubung isu sama sebelum tindakan seterusnya diambil.
"Parti mana yang akan membenarkan ahli-ahlinya berada di atas pentas pembangkang dan memaki hamun partinya sendiri," kata Hishammuddin kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Felda Chemplak Barat, di Labis, dekat sini, hari ini.
Mengulas lanjut Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata kalau tindakan itu tidak diambil, beliau sendiri akan meminta agar mereka dipecat.
"Tindakan seperti ini akan diambil oleh mana-mana parti pun dan jangan hipokrit jika hendak menuding jari kepada kita tetapi tindakan dan hujah-hujah mereka (veteran itu) memang jelas tidak lagi bersama-sama dengan kita," katanya.
Beliau berkata jikalau tindakan tidak diambil, ia akan menjejaskan parti komponen Barisan Nasional (BN) dan ahli-ahli yang lain dari segi moral yang hendak menangkan calon BN.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin, yang juga penyandang kerusi Parlimen Sembrong mengingatkan jentera dan warga BN di Parlimen Labis mengenai perjuangan parti dan BN yang merentasi warna kulit dan agama.
"Perjuangan dan berkempen perlu dilakukan dalam cara yang membina jauh lebih baik berbanding cara menanam kebencian, perpecahan dan kekecohan," katanya.
Beliau turut menasihati penyokong BN dalam masa beberapa hari sebelum hari mengundi agar tidak terikut-ikut dengan rentak parti pembangkang.
Mengulas mengenai strategi politik pembangkang, Hishammuddin berkata mereka sentiasa mencipta isu baharu apabila isu lama telah dapat diselesaikan.
"Saya lihat tiap-tiap isu diselesaikan oleh BN, pembangkang akan bertindak mengalih tiang gol dan sentiasa hendak menimbulkan isu lain untuk mengabui mata rakyat," katanya.
Di SEREMBAN, anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Hasan Malek berkata keputusan Lembaga Disiplin UMNO memecat dua veteran itu adalah tepat.
Katanya, ketika pilihan raya umum semakin hampir parti perlu bertindak segera agar pengundi tidak terkeliru dengan status perjuangan mereka.
Menurut beliau tindakan veteran itu memburuk-burukkan UMNO dan BN adalah sesuatu yang tidak boleh diterima selepas mereka menikmati segala kemudahan, kekayaan dan rahmat semasa dalam kerajaan BN.
"Mereka gagal meletakkan kepentingan parti pada kedudukan sepatutnya. Ini adalah era pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan seharusnya mereka menyokong dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Najib," kata bekas Duta Besar Malaysia ke Kemboja itu dalam satu kenyataan.
Hasan adalah penyandang kerusi Parlimen Kuala Pilah selama tiga penggal sejak 2004.
Dalam pada itu Hasan berkata beliau secara peribadi berasa sedih apabila bekas menteri itu mengambil keputusan menyertai perjuangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menentang Najib.
"Bukannya mereka tidak tahu Dr Mahathir ketika ini sedang bersekongkol dengan DAP. Mereka pun bukannya tidak tahu siapakah Lim Kit Siang dan siapakah DAP.
-- BERNAMA
DHA MHA RS
-- BERNAMA