MCA Kalabakan minta pengundi Cina sokong calon komponen BN




TAWAU, 5 Mei (Bernama) -- Timbalan Ketua MCA Kalabakan Woo Min Sui meminta masyarakat Cina di Dewan Undangan Negeri (Dun) Merotai agar memberi sokongan kepada calon Parti Bersatu Sabah (PBS) yang mewakili Barisan Nasional (BN) di DUN itu, Lim Ting Khai.

Woo berkata Lim merupakan anak muda yang memiliki misi dan visi untuk membantu rakyat selain menyelesaikan masalah berkaitan kekurangan infra seperti lampu jalan serta pemilikan rumah bagi golongan belia.

"Saya yakin Lim akan mampu menjaga kebajikan rakyat serta merancakkan ekonomi di Dun Merotai jika diberi mandat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14)," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Dalam pada Woo turut meminta agar undi masyarakat Cina dapat diberikan kepada calon BN daripada UMNO di Parlimen Kalabakan iaitu Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh sekali gus dapat membantu memenangkan Ghapur untuk penggal kelapan.

Katanya, Ghapur seorang wakil rakyat yang menitikberatkan soal kebajikan penduduknya termasuk memberi bantuan persekolahan kepada pelajar dari keluarga kurang kemampuan.

"Beliau merupakan penasihat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Phui Yuk Tawau dan banyak membantu sekolah Cina.

"Selain itu, sepanjang pimpinan beliau, banyak rumah di baik pulih termasuk membina 470 unit rumah kos rendah di Gudang Empat," katanya.

Woo berkata Ghapur juga seorang yang mengambil berat rungutan penduduk mengenai isu kemudahan asas termasuk jalan raya.

--BERNAMA