Perwatakan Mukhriz kini sudah berubah, suka mencerca - Ahmad Bashah
ALOR SETAR, 5 Mei (Bernama) -- Perwatakan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir kini sudah berubah apabila suka mencerca pemimpin Barisan Nasional (BN) setelah menyertai gabungan pakatan pembangkang yang diterajui DAP, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Katanya sikap dan sifat calon PKR-PPBM bagi kerusi Parlimen Jerlun itu yang dikenalinya daripada seorang yang lemah lembut bertukar kepada seorang yang suka menimbulkan kemarahan orang lain.
"Saya pun tak sangka, memang dia orang lemah lembut dan bila dok (bersama) dengan pembangkang, hilang dah lemah lembut, budi bahasa dia tak dak (tidak ada) lagi, dia telah ikut nada pemimpin pembangkang yang lain.
Sejak jadi Menteri Besar depa (mereka) kata saya lena, tapi dia kena tengok calon Perdana Menteri, pak dia (bapanya)Tun Mahathir lena atas pentas, awat (kenapa) dia tak kritik," katanya mengulas ucapan Mukhriz dalam satu majlis malam tadi, yang menuduh beliau seorang pemimpin yang suka tidur dan mengajak pengundi menyelamatkan Kedah daripada pemimpin seperti itu.
Mukhriz diingatkan supaya jangan hanya mengkritiknya kerana beliau cuma mengedipkan matanya mengingatkan Dr Mahathir yang sudah berumur 93 tahun yang sudah tidak bertenaga namun menjadi boneka DAP, katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Perdana Projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2018 peringkat negeri Kedah di Alor Merah, di sini hari ini.
Pada majlis itu, 15 penerima rumah baharu dari seluruh negeri Kedah menerima kunci rumah masing-masing melalui projek dengan peruntukan RM750,000. Turut hadir Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) TNB Kedah, Ismail Lathifi Teh.
"Sekarang Mukhriz pun dah seperti bapanya, mereka sudah kehabisan idea, saya sudah lama dalam politik, sebagai pemimpin saya sudah melakukan tugas dengan baik untuk rakyat dan rakyat sendiri sudah bijak menilai,"katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Bashah mengingatkan rakyat agar tidak terus tertipu dengan pembangkang terutamanya DAP yang menjadi tangan ghaib dalam gabungan pembangkang kerana ia sangat bahaya kepada rakyat terutama untuk masa depan orang Melayu.
"Tun Mahathir dan Mukhriz dan Tan Sri Muhyiddin Yassin hanyalah simbol bagi DAP, mereka sanggup buang lambang roket dan guna logo PKR kerana mahu tarik pengundi Melayu dan kelirukan orang Melayu, apabila menang nanti, DAP lah yang akan mengambil alih dan mereka akan berada di bawah telunjuk DAP, jadi lebih baik rakyat jangan membuat kesilapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini," katanya.
-- BERNAMA