Debat Syed Saddiq dan Razali di Muar esok




MUAR, 5 Mei (Bernama) -- Hasrat pengundi Parlimen Muar untuk melihat calon mereka berdebat menjadi kenyataan apabila majlis tersebut akan diadakan esok (Ahad).

Calon PKR, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata hasil perbincangan wakilnya dengan wakil calon Barisan Nasional (BN) majlis debat itu akan diadakan di Hotel Traders Muar jam 8 malam.

"Kami (wakil) telah menghantar surat dua hari lalu mencadangkan masa dan tempat, dan memberitahu kepada wakil Datuk Seri (Razali) jika mahu berbincang mengenai selaraskan semula masa dan tempat.

"Nampaknya setelah perbincangan diadakan, kita buat di tempat yang dinyatakan," katanya kepada pemberita setelah hadir pada majlis Dialog Tun Daim bersama pengundi Muar dekat sini hari ini.

Isnin lepas Syed Saddiq mempelawa Razali dan seorang lagi calon yang bertanding pilihanraya umum ke-14 (PRU14) parlimen itu, Abdul Aziz Talib (PAS) untuk berdebat.

Pada Rabu pula Razali menyatakan bersetuju dengan pelawaan berkenaan asalkan ia mendatangkan faedah kepada penduduk Muar.

Bagaimanapun menurut Syed Saddiq calon PAS enggan melayan pelawaan debat itu apabila menutup pintu pejabat setelah wakilnya mahu menyerahkan surat jemputan dua hari lalu.

Pihak media turut menerima promosi jemputan debat berkenaan yang juga diumum di majlis ceramah PH yang dihadiri Syed Saddiq sejak tengah hari tadi.

-- BERNAMA