Kerajaan BN utamakan keperluan prasarana pendidikan di Sabah
SANDAKAN, 5 Mei (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa sedar tanggungjawab untuk memenuhi keperluan prasarana pendidikan di negeri ini, kata Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.
Menurut beliau ia sejajar dengan komitmen untuk memastikan pelajar dapat mengikuti suasana pembelajaran yang selesa.
Katanya ini turut meliputi sekolah di kawasan luar bandar apabila kerajaan memperuntukkan RM1 bilion untuk naik taraf sekolah daif di negeri ini pada bajet tahun ini.
"Ini membuktikan kita ada pemimpin dan kerajaan prihatin kerana pendidikan merupakan nadi dan tunjang kejayaan sesuatu bangsa dan negara.
"Atas faktor inilah kerajaan amat menitikberatkan pembangunan dan kecemerlangan pendidikan," katanya pada Hari Anugerah Kecemerlangan Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan di sini, hari ini.
Musa berkata dalam konteks Sabah khususnya di kawasan Sungai Sibuga dan Libaran , aspek pendidikan merupakan antara penekanan awal yang beliau berikan tumpuan sebaik diberikan amanah dan tanggungjawab sebagai Ketua Menteri Sabah.
Katanya ini termasuklah menambah bilangan sekolah khususnya di kawasan kampung dan taman perumahan untuk menampung keperluan pendidikan.
-- BERNAMA