Pemecatan Daim dan Rafidah tidak jejaskan kempen BN - Irmohizam
KUALA SELANGOR, 5 Mei (Bernama) -- Pemecatan dua anggota veteran UMNO dari parti itu susulan sokongan mereka terhadap pembangkang dan mengeluarkan kenyataan menghentam parti, tidak menjejaskan kempen calon BN bagi Pilihan Raya Umum ke-14 ini.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata pemecatan Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin disifatkan tindakan yang wajar.
"Saya tidak nampak wujud kesan negatif ke atas kempen yang hanya berbaki tiga hari lagi. Tindakan Lembaga Displin UMNO memecat Daim dan Rafidah kerana sokongan mereka terhadap pembangkang dan tindakan itu bertentangan dengan dasar parti," katanya ketika merasmikan karnival 'OK' anjuran Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) di sini, hari ini.
Irmohizam berkata demikian ketika diminta mengulas pemecatan Rafidah dan Tun Daim oleh Lembaga Displin UMNO hari ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga calon BN Parlimen Kuala Selangor berkata pemecatan itu juga sebagai pengajaran kepada anggota lain supaya tidak membelakangi parti demi kepentingan diri sendiri.
"Kita sebagai anggota parti perlu berperanan teguh di belakang parti...jika tidak siapa pula yang akan mempertahankan parti ini," katanya.
--BERNAMA