Setiap ahli termaktub pada peraturan UMNO





SEREMBAN, 5 Mei (Bernama) -- Kesemua ahli UMNO tidak mengira veteran, Pemuda, Puteri dan anggota biasa merupakan subjek kepada setiap peraturan parti dan tiada siapa yang terkecuali dikenakan tindakan jika melanggar peraturan yang telah ditetapkan, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata pemecatan dua veteran UMNO iaitu Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz itu berlaku apabila mereka didapati melanggar etika yang telah ditetapkan oleh parti tersebut.

"Semua ahli, jika mereka didapati melanggar etika parti maka dengan sendirinya hak mereka akan terlucut.

"Seperti bawa kes ke mahkamah atau bersama pembangkang dalam kempen pilihan raya umum atau pilihan raya kecil tidak ada dakwa-dakwi akan terus dipecat daripada parti," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pembinaan Dewan Komuniti Ampangan di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Bahagian UMNO Seremban Datuk Abu Ubaidah Redza, Ketua Pemuda MCA Kebangsaan Datuk Chong Sin Woon dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban Datuk Abd Halim Abd Latif.

Mohamad berkata namun sekiranya kesahihan seseorang itu masih samar maka ahli tersebut akan disiasat dan dibawa ke Jawatankuasa Disiplin parti untuk diambil tindakan.

Mengulas mengenai kesan terhadap parti beliau berkata itu merupakan masalah persendirian dan tidak memberi sebarang kesan terhadap parti.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengumumkan pengguguran dua veteran UMNO iaitu bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin susulan tindakan mereka menyokong pembangkang selain menghentam parti berkuat kuasa semalam.

Tengku Adnan berkata seorang lagi veteran UMNO Tan Sri Dr Rais Yatim masih disiasat berhubung isu sama sebelum tindakan seterusnya diambil.

-- BERNAMA