Pilihan BN akan pastikan pembangunan berterusan di kawasan majoriti Bidayuh




KUCHING,5 Mei (Bernama) -- Masyarakat Bidayuh perlu memberi undi kepada Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kesinambungan projek dan pembangunan di kampung mereka, kata Menteri Muda Permbangunan Tanah Adat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Beliau berkata pembangunan di Sarawak adalah baik kerana ia bukan hanya melibatkan pembinaan balai raya atau dewan komuniti tetapi juga projek lain termasuk pembinaan gereja dan kuil.

"Inilah keistmewaan mengenai Sarawak kerana peruntukan juga diberikan kepada gereja dan kuil," katanya ketika menyeru pengundi Bidayuh memberi sokongan penuh kepada Pengerusi BN Negeri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Berbekalkan dengan mandat yang diberi oleh rakyat, BN negeri dan ketua menteri akan mempunyai lebih banyak kuasa untuk menuntut hak Sarawak daripada kerajaan persekutuan seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Sementara itu, anggota Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) dan Pengerusi Cawangan PBB Tasik Biru, John Nyigor turut menasihatkan pengundi Bidayuh supaya menunaikan tanggungjawab mereka dengan bijak.

"Apa jua keputusan pada malam pengiraan undi, Abang Johari akan kekal sebaga ketua menteri Sarawak. Jadi di manakah kedudukan kita sebagai kaum Bidayuh secara keseluruhan?. Adakah kita nak bersama dengan pemimpin atau nak tertinggal di belakang ketinggalan?, "katanya.

Beliau berkata pilihan yang salah dalam tiga kerusi Parlimen majoriti Bidayah iaitu Mas Gading, Serian dan Puncak Borneo akan menjejaskan setiap penduduk Bidayuh.

Oleh itu, beliau menggesa pengundi Bidayuh supaya mengetepikan perbezaan pendapatan dan rungutan dan melihat kepentingan yang lebih besar.

"Masyarakat Bidayuh di Sarawak perlu bersama dengan kerajaan negeri. Oleh itu, buatlah pilihan dengan bijak dan bukan emosi," katanya.

Mengenai ramalan keputusan PRU14 di Sarawak, John berkata DAP akan kehilangan kerusi Parlimen Sarikei, Sibu dan berpotensi untuk hilang kerusi Lanang dan Stampin manakala PKR boleh kalah kerusi Parlimen Miri.

Bagaimanapun, katanya, PBB boleh menang 14 kerusi Parlimen daripada 31 kerusi yang ditandinginya termasuk kerusi Parlimen Puncak Borneo oleh calon muka baharu PBB, Genot Sinel @ Jeannoth Sinel.

"Berikutan BN kini menguasai 25 daripada 31 kerusi Parlimen serta dengan kemenangan yang pasti di Sarikei dan Sibu dan peluang di Miri dan mungkin di Stampin, BN dilihat mampu meraih 28 kerusi pada PRU14," katanya.

Berdasarkan trend mengundi sebelum ini, katanya, pengundi Melayu dan Melanau, akan memilih semua calon BN.

Selain, 14 kerusi ditandingi PBB, SUPP bertanding di tujuh kerusi, PRS (enam) dan empat oleh PDP.

Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri pada tahun 2016.

-- BERNAMA