Insentif kerajaan tingkatkan sosioekonomi wanita di sektor awam
KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Pelbagai insentif kerajaan yang memberikan tumpuan kepada penjawat awam termasuk golongan wanita memberikan banyak kelegaan serta kemudahan kepada mereka yang berkhidmat di sektor awam.
Penyediaan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja ternyata banyak memberi manfaat kepada kaum ibu yang bekerja dalam menguruskan kerjaya dan kehidupan berkeluarga serentak.
"Kita boleh seimbangkan waktu kerja dan tugas menguruskan keluarga. Dalam sektor awam saya boleh menyumbang kepada masyarakat dan pada masa sama menguruskan rumah tangga saya," kata Penolong Pengarah (Bahagian Khidmat Pengurusan) Mahkamah Perusahaan Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, Chew Shy Huoy.
Chew, 35, berkata rumah PPA1M (Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia) di Presint 17, Putrajaya yang baru dimilikinya merupakan antara inisiatif kerajaan untuk penjawat awam memiliki rumah mampu milik yang lebih selesa.
B. Vijeyatharzhini, 27, Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata kementerian itu menyediakan skim Aturan Kerja Fleksibel bagi meningkatkan kualiti kerja penjawat awam dan menyeimbangkan kehidupan dan kerjaya.
"Ia masih projek perintis di kementerian. Di samping itu, jika pekerja mempunyai urusan penting berkaitan keluarga khusus untuk wanita, majikan sangat memahami, berbanding semasa saya berkhidmat di sektor swasta.
"Pekerja lebih fokus terhadap kerja dan mengurangkan tekanan. Saya harap kemudahan itu dapat diperluaskan ke kementerian dan agensi kerajaan yang lain," katanya.
Pada pembentangan Bajet 2018 Oktober tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tahun ini merupakan Tahun Memperkasa Wanita bagi memastikan keterangkuman wanita serta berdaya saing di peringkat global.
Antara inisiatif yang diumumkan perdana menteri kepada wanita adalah pelanjutan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari, pemberian kemudahan cuti menjaga anak bersambung daripada cuti bersalin serta pelepasan awal sejam kepada kakitangan wanita yang mengandung lima bulan ke atas dan suami yang bekerja berhampiran.
Sementara itu, Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Suriani Ahmad berkata sebagai penjawat awam yang telah berkhidmat selama 23 tahun, insentif yang diberikan kerajaan kepada wanita membuktikan bahawa tenaga kerja golongan itu amat dihargai.
Katanya, kerajaan tidak hanya meletakkan sasaran bagi meningkatkan peratusan wanita dalam pasaran kerja, malah pelaksanaan pelbagai inisiatif dapat mengekal golongan itu dalam tenaga kerja.
Selain itu, usaha kerajaan itu akan dapat melahirkan lebih ramai wanita di peringkat pembuat keputusan di sektor awam, sejajar dengan sasaran kerajaan untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan kepada 59 peratus pada 2020.
"Kami sangat mengalu-alukan insentif kepada wanita agar boleh terus bekerja sungguhpun sudah berumahtangga dan mempunyai anak. Jika ada taska di tempat kerja tak perlu fikir untuk terkejar-kejar uruskan anak."
"Mungkin ada ibu yang tidak pulih sepenuhnya selepas bersalin. Pelanjutan cuti bersalin memberikan masa tambahan untuk pulihkan diri, tak perlu berhenti kerja," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal PTD Wanita, Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik Malaysia Datuk Roosme Hamzah pula berkata latihan kemahiran dan kursus menerusi pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan untuk kaum wanita dapat meningkatkan keupayaan mereka dalam menghasilkan kerja yang bermutu.
Rosmee yang juga Setiausaha Dewan Rakyat berkata insentif yang diberikan kepada golongan itu seperti kelonggaran untuk pulang awal sejam bagi yang mengandung dapat membentuk institusi keluarga yang bahagia sekali gus melahirkan pekerja yang cemerlang.
-- BERNAMA