Buat pilihan atas kewarasan fikiran, kesedaran - Tun Abdullah
Tun Abdullah Ahmad Badawi (Gambar fail Bernama)
KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini menasihati rakyat agar membuat pilihan atas kewarasan fikiran dan kesedaran semasa memilih parti yang akan memacu pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) ini.
Pada masa sama bekas perdana menteri itu juga berkata tindakan memilih mereka yang sekian lama berlainan fahaman politik tetapi berganding bahu semata-mata untuk meraih kuasa bukanlah suatu yang waras.
"Ini bukan satu perjudian mempertarungkan nasib ataupun menukar haluan semata-mata kerana tidak puas hati dengan beberapa isu. Tiada semuanya yang 100 peratus sempurna.
"Nilai segala janji yang diberi secara terperinci. Apa yang benar-benar dapat dikotakan daripada apa yang manis di bibir sahaja. Timbangkan kesemuanya secara keseluruhan dan fikirlah masak-masak dan secara waras...'spring may lead into a glorious summer but can also end up in a winter of discontent for our children," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Abdullah berkata kejayaan Malaysia mencapai pembangunan pesat sejak mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun lalu banyak bergantung pada kestabilan politik yang dikecapi selama ini dengan tampuk kepimpinan terdiri daripada pasukan yang benar-benar bekerjasama serta akrab berkongsi aspirasi dan cita-cita untuk negara.
Selain itu, penggubalan dan kesinambungan dasar yang kukuh dan konsisten, pentadbiran ekonomi baik serta struktur pemerintahan yang jelas dan peralihan kuasa daripada satu perdana menteri ke satu perdana menteri secara stabil telah menentukan kesinambungan kemajuan Malaysia selama ini, kata Abdullah.
"Sama ada ekonomi negara akan terus makmur seperti yang kita kecapi selama ini, sama ada masa depan generasi muda dan tua terus cerah, dan sama ada negara terus selamat aman dan makmur atau mundur di pinggiran bakal ditentukan oleh pilihan anda pada 9 Mei ini," katanya.
Sebagai seorang rakyat Malaysia yang pernah menjadi peneraju negara, Abdullah berkata beliau juga ingin melihat kematangan politik yang tinggi dalam kalangan calon-calon pada PRU14 ini.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Lah berkata para calon dan parti-parti bertanding hendaklah menjiwai erti demokrasi secara rasional dan bukan demokrasi berasaskan emosi dan kemarahan.
"Saya juga ingin mengingatkan calon-calon pilihan raya kali ini bahawa kita menawarkan diri bukan semata-mata untuk meraih, merampas atau mengekalkan kuasa memerintah tetapi untuk diberi peluang berbakti kepada rakyat dan negara," katanya.
Abdullah berkata semua calon mesti cukup berwibawa dan berhemah tinggi dalam menawarkan diri, dasar atau ideologi masing-masing untuk penilaian rakyat, bukan tuduh-menuduh membakar kemarahan rakyat semata-mata untuk meraih sokongan.
Tegasnya yang penting adalah rakyat, bukan agenda atau cita-cita politik seseorang individu.
"Atas semua perkara yang saya telah nyatakan, saya mengajak semua rakyat Malaysia melaksanakan hak demokrasi masing-masing dengan aman dan penuh tanggungjawab tanpa sebarang sengketa."
"Marilah kita membina tamadun negara dan bangsa mengikut cara yang menyerlahkan integriti, etika dan keimanan peribadi yang tinggi. Yakinlah bahawa maju mundur, kaya miskin dan hina mulianya bangsa adalah di tangan kita," katanya.
Beliau turut mendoakan supaya pilihan raya kali ini berjalan lancar dan teratur dalam keadaan aman dan selamat serta keputusan yang bakal dizahirkan adalah sesuatu yang baik untuk negara.
-- BERNAMA