Perlawanan bola sepak: 'gencatan senjata' calon BN untuk dua jam
SEREMBAN, 6 Mei (Bernama) -- Dua calon Barisan Nasional (BN) meluangkan masa hampir dua jam menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Super, Negeri Sembilan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi di sini, malam tadi.
Meskipun memiliki jadual kempen yang padat dengan tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berbaki dua hari lagi, kedua-dua mereka Datuk Chong Sin Woon (Parlimen Seremban) dan Syamsul Amri Ismail (Dewan Undangan Negeri Sikamat) memilih melakukan ?gencatan senjata' bagi menyatakan sokongan padu kepada Skuad Rusa bimbingan Azrai Khor Abdullah.
Bercakap kepada Bernama, Chong berkata beliau tidak pernah melepaskan peluang untuk menonton aksi pasukan negeri kelahirannya apatah lagi di laman sendiri.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk merehatkan minda dan berhenti seketika daripada berkempen kerana kita tidak boleh sepanjang masa asyik memikirkan soal politik sahaja malah peluang ini diambil agar pengundi berasa lebih dekat dengan wakil rakyat mereka di stadium."
"Kehadiran saya hari ini ke stadium adalah bagi menunjukkan sokongan kepada pasukan negeri kelahiran saya selain membuktikan komitmen saya dalam pembangunan belia termasuk sukan," katanya.
Syamsul Amri atau lebih dikenali Syamsul Debat pula berkata beliau sememangnya adalah peminat sukan bola sepak dan perlawanan itu adalah kesempatan terbaik beliau untuk ?mencuri masa' daripada kesibukan jadualnya.
"Pun begitu, saya tidak mengabaikan kawasan yang ditandingi saya. Di sini saya juga dapat bersemuka dengan ramai pengundi serta mendengar masalah dihadapi mereka sambil menonton bola sepak."
"Apabila kita hadir di kawasan-kawasan tumpuan penduduk, secara tidak langsung apabila mereka menyuarakan masalah, kita akan dapat menjadi pengantara untuk menyampaikan suara mereka demi tindakan lanjut," katanya.
Pada perlawanan itu Negeri Sembilan tunduk kepada JDT 0-4.
-- BERNAMA