Calon BN Alor Gajah fokus perkasa pendidikan untuk orang asli




Oleh Nur Faradilla Mohamad

ALOR GAJAH, 6 Mei (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Alor Gajah Datuk Wong Nai Chee berhasrat memperkasa sistem pendidikan untuk Orang Asli dalam usaha memastikan golongan itu tidak tercicir daripada arus pembangunan.

Katanya walaupun kerajaan tidak pernah meminggirkan Orang Asli dalam bidang pendidikan, aspek itu harus sentiasa diperkasa agar mereka dapat meningkatkan taraf hidup dan setanding dengan masyarakat lain di negara ini.

"Selain daripada aspek kebajikan, kita turut menitikberatkan penyediaan prasarana pendidikan dalam memantapkan pengetahuan serta kemahiran mereka demi kemajuan negara," kata Wong yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri kepada Bernama.

Wong, 49, anak jadi Batang Melaka di sini, pernah mewakili kerusi Parlimen Kota Melaka yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12.

Pada PRU ini, beliau dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Alor Gajah menggantikan penyandang Datuk Koh Nai Wang yang berpindah ke kerusi Dewan Undangan Negeri Machap Jaya.

Mengulas pencalonannya, Wong menganggap ia simbolik kepercayaan pucuk pimpinan BN akan keupayaan beliau dalam memberi khidmat membela nasib dan kebajikan rakyat.

"Saya optimis untuk mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Alor Gajah berdasarkan respons positif daripada peringkat akar umbi sepanjang tempoh berkempen. Saya akan teruskan berjumpa rakyat secara terus."

"Setakat ini pelbagai permohonan diterima termasuk pembangunan fizikal (pendidikan), taman rekreasi, gelanggang sukan dan dewan serba guna untuk kemudahan masyarakat setempat. Bagaimanapun, semua ini hanya dapat direalisasikan sekiranya BN terus diberikan mandat," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata antara isu popular yang dikenal pasti dalam kalangan rakyat terutamanya golongan muda adalah dilema sukar mendapat peluang pekerjaan.

"Justeru, saya ingin menyeru kepada golongan belia agar berani meneroka bidang keusahawanan dengan memanfaatkan perkembangan pesat teknologi terkini dalam memasarkan produk atau perkhidmatan mereka ke seluruh dunia," katanya.

Seorang penduduk Kampung Orang Asli Batang Melaka, Norazizah Anak Galong, 32, berharap wakil rakyat yang bakal dipilih dapat menaik taraf kemudahan dan infrastruktur di kawasan itu selain memantapkan sistem pendidikan serta kemahiran untuk generasi muda mereka.

"Saya harap agar YB (Yang Berhormat) dapat berkunjung ke sini lebih kerap untuk kami adukan masalah dan aduan secara terus memandangkan lokasi kami yang agak jauh untuk melakukan sebarang urusan pentadbiran."

"Begitu juga dengan soal pendidikan, harap diperbanyakkan lagi kemudahan dan bantuan kebajikan yang membabitkan urusan persekolahan demi masa depan anak cucu kami," katanya.

-- BERNAMA