MCA positif mampu tawan kerusi parlimen Rasah




SEREMBAN, 6 Mei (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Rasah Ng Kian Nam yakin mampu menggalas tugas berat untuk mengembalikan kerusi itu kepada penguasaan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Ketua Biro Perundangan Pemuda MCA Kebangsaan itu berkata ini berdasarkan maklum balas positif yang diterimanya daripada masyarakat di kawasan itu sepanjang kempen selama sembilan hari sejak selepas hari penamaan calon, 28 April lepas.

"Walaupun sebelum ini kerusi tersebut BN kalah dengan majoriti yang besar namun berdasarkan analisis terkini jentera, pengundi di kawasan ini lebih cenderung untuk menyokong kerajaan. Mengikut rekod dahulu Parlimen Rasah pernah berada di bawah BN selama empat penggal dan ini menguatkan semangat saya untuk terus berusaha," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis sembang santai bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Sebir, dekat sini hari ini.

Ng berkata pihaknya kini berusaha keras menarik seberapa ramai pengundi untuk menyokong BN termasuk kumpulan pengundi senyap (silent voters).

"Ini kerana ada sebahagian besar daripada mereka sudah pun muak dengan isu yang dibangkitkan pembangkang terhadap kerajaan. Jika kita dapat lihat di ceramah pembangkang, tidak mendapat sambutan dan hanya dihadiri segelintir orang sahaja."

"Bagi saya perubahan di saat akhir boleh berlaku bagi pengundi Parlimen Rasah ini dan saya akan berusaha keras untuk itu," katanya.

Pada PRU13 lepas, wakil BN Teo Eng Kian kalah kepada Teo Kok Seong daripada DAP dengan majoriti 24,101 undi.

Pada PRU14, Parlimen Rasah satu-satunya Parlimen yang akan menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Ng, Cha Kee Chin daripada PKR-DAP, Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa (PAS) dan A. David Dass (PAP).

-- BERNAMA