Matbali disenangi penduduk DUN Lumadan





BEAUFORT, 6 Mei (Bernama) -- Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan menyifatkan tindakan Barisan Nasional (BN) memilih muka baharu Matbali Musah sebagai calonnya di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) ini sebagai tepat kerana beliau amat mudah didekati.

Kata mereka sikapnya yang sentiasa tenang walaupun berdepan provokasi, amat disenangi.

Seorang penduduk Kampung Luagan, Azwan Junah, 32, berkata dia mengenali Matbali sebagai seorang yang sangat ?cool' (tenang).

"Apabila nama beliau (Matbali) diumumkan, kami amat gembira dan memberi sokongan penuh kepadanya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Azwan berkata Matbali merupakan seorang yang mudah mesra, justeru penduduk tidak akan rasa segan untuk mendekatinya bagi menyuarakan masalah.

Nawarni Zulkifli, 60 pula berkata sebelum dipilih sebagai calon Matbali sudahpun menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat dan sentiasa menyantuni penduduk kampung.

Katanya beliau tidak pernah lupa menziarahi warga tua yang uzur dan bantuan dihulur tanpa mengira waktu.

"Kami tahu kadangkala duit bantuan yang dia berikan adalah duit dia sendiri," katanya.

Norsinah Junah, 41, pula berkata dia mahu Matbali mewakili kawasan itu kerana beliau seorang berkarisma sebagai pemimpin selain komited dan berjiwa penyayang.

Sementara itu kaka Matbali, Saunah Musah, 55, berkata adik bongsunya itu diibaratkan 'ayah' kepada mereka lima beradik kerana beliau yang merupakan satu-satunya adik lelaki sentiasa mengambil berat akan kebajikan anggota keluarga selepas pemergian kedua ibu bapa mereka.

Pada PRU14 ini Matbali yang menggantikan penyandang Datuk Kamarin Ombi, dicabar Asmat Japar (Harapan Rakyat) dan Md Samlih Juaisin (Warisan).

-- BERNAMA