DAP jadi kilang fitnah untuk burukkan kerajaan BN - PM Najib





PEKAN, 6 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan DAP sebagai 'kilang fitnah' yang sentiasa berusaha mencari isu untuk memburukkan imej Barisan Nasional (BN) dan kepimpinannya.

Najib berkata hal itu diakui sendiri oleh salah seorang anggota jentera parti DAP yang mengatakan, parti itu sengaja mereka berita-berita palsu dan menabur fitnah untuk memastikan matlamat parti itu untuk mengambil alih pentadbiran di negara ini tercapai.

"Hari ini saya terbaca di telefon pintar saya berita seorang yang mengendalikan berita untuk DAP mendedahkan dia tidak sanggup lagi untuk menabur fitnah kepada kerajaan yang selama ini dijadikan sebagai arahan kerja mereka. Ia memang dirancang."

"DAP kata kalau undi PKR maknanya sama dengan undi DAP, jadi maknanya jika kita berbuat demikian kita memberi kuasa kepada DAP. Saya nak tanya selama ini DAP pernah ke sayang kepada Felda atau pernah ke memperjuangkan agenda bumiputera."

"Apa akan jadi kepada UiTM dan Felda itu sendiri pada masa akan datang kalau dalam hati mereka tidak ada langsung memikirkan soal itu," katanya ketika menghadiri Program Bersama Warga Felda Gugusan Chini di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh calon yang juga penyandang kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Akhbar hari ini melaporkan ahli seumur hidup DAP, Amran Ahmad membuat pendedahan bahawa DAP sengaja memburuk-burukkan BN dan Najib serta keluarganya dengan matlamat untuk meracuni pemikiran rakyat.


Amran yang masih bekerja dalam Biro Publisiti di ibu pejabat parti itu berkata DAP menggunakan nama gabungan pembangkang PKR demi memenangi PRU14 dan pendedahan itu diakukan untuk mengelak masa depan negara tergadai.

Dalam masa yang sama, Najib yang juga penyandang kerusi Parlimen Pekan menyelar sikap Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkan sebagai mengamalkan tahap kepura-puraan politik paling ekstrem kerana menjadikan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai modal meraih sokongan.

"Hari ini keluarga Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz kunci pintu masuk ke tanah perkuburan itu kerana tak mahu Dr Mahathir masuk sebab kalau ikhlas kenapa tidak melawat kubur itu selama ini.

"Kalau ikhlas tunggulah selepas PRU, selama ini dia kutuk Nik Aziz macam-macam, dia kata Nik Aziz terlalu tua…patut berhenti politik sedang NIk Aziz lagi muda daripada dia, " katanya.

Najib dalam ucapannya juga memberi aku janji bahawa BN akan terus memperjuangkan nasib peneroka Felda seperti yang telah dilakukannya sejak 60 tahun dahulu kerana ia diasaskan oleh ayahandanya Tun Abdul Razak Hussein.

Katanya, peneroka Felda yang dahulu terdiri daripada mereka yang tidak memiliki atau hanya mempunyai tanah sekangkang kera telah menikmati manfaat apabila mereka diberikan tanah seluas empat hektar yang kini telah berkembang maju.

"Sesetengah tempat dahulunya adalah hutan rimba, kini terletak di tepi lebuh raya. Ada yang telah menjadi jutawan daripada bertatih dari rumah pondok asal Felda yang tiada kemudahan jalan raya.

"...hanya tanah merah sahaja, tapi hari ini, Alhamdulillah, kita nampak perubahan yang amat besar hasil perjuangan, titik peluh dan keringat siapa? Memang BN sahaja jawapannya," katanya.

Menurut Najib, atas sebab itu, peneroka perlu meneruskan sokongan kepada BN pada 9 Mei ini supaya parti yang diterajuinya dapat terus melaksanakan agenda seterusnya, bukan hanya dalam konteks Felda, namun melibatkan kemajuan negara secara keseluruhannya.

Katanya, masa depan Felda bukan hanya bergantung kepada pengurusan Felda tetapi juga bergantung 'kepada siapa yang duduk di Putrajaya' menjadikan nasib peneroka terjamin jika pusat pentadbiran negara itu kekal di tangan BN.

"Sejak dahulu sampai sekarang, bagaimana dengan rekod pencapaian saya? Saya menjaga kebajikan peneroka. Jadi tidak usahlah dengan yang lain... yang lain tidak boleh pakai termasuklah mereka yang nak bertanding di Pekan."

"Tidak payahlah saya hendak menceritakan tentang dia kerana saya tahu segala-galanya tentang dia. Menguruskan hal sendiri pun tidak terurus, bagaimana hendak menguruskan nasib peneroka?," soalnya.

Pada majlis itu, Najib juga menyampaikan cek insentif muafakat Felda berjumlah RM580,000 kepada 116 peneroka dan pembinaan 3,701 unit rumah menerusi Perumahan 1Felda di 16 tapak sekitar Pahang antaranya di Felda Bukit Goh, Chini Timur, Mempaga, Lurah Bilut, Jengka 19 dan Panching.

-- BERNAMA