Pengundi jangan perjudi masa depan - Azlan Man




KANGAR, 6 Mei (Bernama) -- Projek Lembangan Sungai Perlis yang menelan kos kira-kira RM1.5 bilion memberi impak tinggi terhadap sosioekonomi, sosial dan landskap Kangar, tidak mungkin mampu dilaksanakan oleh pembangkang.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata projek itu diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lepas dan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat yang turut dijadikan manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Justeru, Azlan berkata para pengundi di Parlimen Kangar tidak harus memperjudikan masa depan mereka dengan mengundi selain BN pada PRU14, 9 Mei ini.

"Kalau depa (pembangkang) menang, kena cari duit sendiri untuk laksana (projek) tetapi adakah mereka mampu? Kita pula rancang ikut kemampuan, bukan janji kosong. Pilihlah kerajaan atau parti yang kuat pada PRU14 ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan perhimpunan peserta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) peringkat Parlimen Kangar yang turut dihadiri calon BN Parlimen Kangar Ramli Shariff, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sena Azihani Ali, Chuah Tian Hee (DUN Indera Kayangan), Hamizan Hassan (DUN Kayang) dan Datuk Azam Rashid (DUN Kuala Perlis), di sini hari ini.

Mengenai AIM, beliau berkata agensi tersebut berjaya mewujudkan kumpulan usahawan kecil membabitkan golongan miskin yang serius hendak mengubah taraf sosioekonomi mereka.

"Alhamdulillah kerana projek kerajaan BN ini yang memberi pinjaman serendah RM3,000 hingga RM20,000 tanpa faedah mencapai matlamat sehingga ada peserta memperoleh pendapatan melebihi RM10,000 sebulan," katanya.

Sementara itu, ditanya perjalanan kempen PRU14 ini, Azlan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis berkata hasil kerja keras berpasukan parti-parti komponen BN, beliau yakin pembangkang sukar menawan Parlimen Kangar dan harapan untuk merampas kerusi DUN Indera Kayangan bertambah cerah.

"Kita tolong-menolong melaksanakan gerak kerja dan bekerja keras siang malam. Usaha ini akan diteruskan sehingga saat akhir tempoh berkempen dibenarkan," kata Azlan yang bertanding kerusi DUN Bintong.

-- BERNAMA