Kempen PRU14 BN Labuan lancar - Rozman





LABUAN, 6 Mei (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) Labuan Datuk Rozman Isli berpuas hati dengan kelancaran perjalanan kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dijalankan jentera parti.

Beliau berkata kempen BN Labuan kali ini adalah lebih teratur dan terancang.

"Alhamdulilah, saya lihat sambutan amat mengalakkan daripada penduduk Labuan setiap kali ceramah BN diadakan di setiap kampung mahu pun di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM)," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan PRU14 Jabatan Penerangan Labuan di Bangunan Ujana Kewangan di sini, hari ini.

Beliau berkata jentera parti-parti lain yang bertanding juga berkempen dalam suasana aman dan lancar walaupun kerusi Parlimen Labuan berdepan persaingan empat penjuru.

Ketika ditanya sama ada BN boleh menang dengan majoriti yang lebih besar di Labuan kali ini, Rozman optimis ia dapat direalisasikan sekiranya peratusan mengundi lebih tinggi berbanding PRU13.

"Saya harap BN Labuan mesti menang dengan majoriti yang lebih besar...warga Labuan mesti membuat pilihan terbaik dengan mengambil kira prestasi kerajaan BN yang banyak membawa pelbagai projek pembangunan untuk kesejahteraan mereka," katanya.

Dalam lawatan itu, Rozman turut merasmikan Pusat Media PRU14 Jabatan Penerangan Labuan yang dibuka sejak hari penamaan calon bulan lepas.

Pusat Media itu dibuka mulai 8 pagi hingga 10 malam sepanjang tempoh 11 hari berkempen PRU14.

-- BERNAMA