Pembangkang manipulasi media sosial, ganggu sentimen pengundi




Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kini memasuki pusingan terakhirnya menyaksikan parti-parti politk bertanding memperkemas strategi masing-masing untuk meraih sokongan pengundi yang bakal menentukan nasib mereka pada 9 Mei ini.

Namun, di saat-saat akhir persaingan sengit ini, pihak pembangkang Pakatan Harapan dalam taktiknya untuk mempengaruhi pengundi, dilihat kian hebat memanipulasikan media sosial untuk menyebar fitnah dan berita palsu terhadap Barisan Nasional (BN).

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi Universiti Putra Malaysia Dr Syed Agil Syed Alsagoff, kempen pembangkang lebih memfokuskan kepada mewujudkan sentimen tidak puas hati pengundi terhadap BN melalui media sosial seperti WhatsApp.

"Langkah untuk mempengaruhi dengan cara kotor itu akan menjadikan keadaan lebih teruk kerana mereka (pengguna media sosial) mungkin akan mepercayai berita-berita palsu itu dengan terus membuat justifikasi atau penghakiman berhubung perkara-perkara tidak benar yang ditularkan," katanya kepada Bernama, di sini.

Dalam matlamatnya untuk menjatuhkan kerajaan, pembangkang telah menularkan pelbagai berita palsu kepada orang ramai termasuk mengitar semula fitnah lama.

Misalnya, fitnah kononnya BN telah membawa masuk sekumpulan warga Bangladesh sebagai pengundi hantu telah dibangkitkan semula baru-baru ini dengan ditokok tambah maklumat baharu.

Malah, sekeping gambar asal Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menunjukkan kedua-dua pemimpin itu melihat model rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) pada satu majlis pelancaran, telah diubah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, kepada seolah-olah Najib dan Tengku Adnan sedang melihat selonggok wang kertas yang kononnya merupakan wang rasuah.

Agil juga menjangkakan lebih banyak isu kontroversi akan dibangkitkan oleh pembangkang pada hari-hari terakhir menjelang pengundian pada Rabu ini bagi mempengaruhi minda pengundi.

"Peringkat terakhir kempen akan menjadi tempoh paling kritikal bagi parti-parti bertanding untuk mempengaruhi fikiran pengundi. Dengan itu, BN perlu berahti-hati dalam merumuskan strategi terakhir untuk menangani berita-berita palsu itu."

"Bukan sahaja perlu menggunakan fakta dan angka terhadap apa yang mereka telah laksanakan dan capai, saya berpendapat BN juga perlu memastikan mesej tentang pelbagai perancangannya di masa depan untuk rakyat disebarkan secara meluas dan sampai kepada rakyat," katanya.

Dalam pada itu, walaupun menjadi mangsa tsunami fitnah pembangkang, BN masih memilih untuk memerangi berita-berita palsu tersebut dengan menampilkan fakta kepada orang ramai.

Bahkan, Najib sendiri telah bertindak memerangi berita palsu termasuk berkongsi gambar-gambar fitnah yang diviralkan, bersertakan penjelasan dalam laman Facebook rasminya selain mewujudkan segmen fakta dalam blog beliau yang menjawab pelbagai tohmahan yang ditimbulkan seperti isu ekonomi negara dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, pensyarah sains politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Ahmad Marthada Mohamed menyifatkan PRU14 sebagai 'Pilihan Raya WhatsApp', kerana apa yang jelas mana-mana mesej sama ada benar atau palsu akan diviralkan dan dibaca dengan segera dalam rangkaian media sosial itu.

Beliau berkata selain saluran-saluran konvensional, para calon perlu mendengar rungutan dan pendapat orang ramai di Facebook, Twitter, WhatsApp, Telegram dan Instagram untuk menangani isu-isu menyelubungi mereka.

Pada zaman dahulu, orang ramai bercakap dan meluahkan rungutan di kedai-kedai kopi atau bertemu di taman-taman rekreasi. Kini orang ramai suka duduk di rumah dan menggunakan teknologi. Ini amat berbeza berbanding dengan PRU13. Kini, malah kita menerima mesej daripada nombor tidak dikenali, kita masih membaca mesej itu kerana rasa ingin tahu isi kandungannya," katanya.

-- BERNAMA