Penduduk mahu era kegemilangan Sungai Siput dikembalikan




Oleh Thivyamalini Ramalu

SUNGAI SIPUT, 6 Mei (Bernama) -- Selama dua penggal tanpa sebarang kemajuan di bawah teraju pembangkang, penduduk Sungai Siput kini merindui era Tun S. Samy Vellu yang mereka anggap zaman 'bercahaya'.

Rata-rata mereka yang ditemui Bernama menyifatkan bekas pemimpin MIC itu seorang yang pemurah serta sangat senang didekati, dan berharap legasi beliau dapat diteruskan oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi parlimen tersebut Datuk Seri S. K. Devamany.

Seorang penduduk, S. Devi berkata dia amat terhutang budi dengan Samy Vellu yang membantunya dan kebanyakan masyarakat India di situ mendapat kad pengenalan biru yang membolehkan mereka menikmati taraf warganegara.

"Sebab itu tak boleh lupa, beliau banyak berjasa kepada penduduk sini. Kalau ditanya setiap orang di sini, mereka boleh cakap panjang lebar mengenai semua kemajuan di Sungai Siput. Oleh itu, kami harap Devamany akan menang. Kami mahu Sungai Siput terus maju," katanya bekas operator kilang berusia 65 tahun itu.

Katanya sepanjang era Samy Vellu, kawasan yang pada suatu ketika dipenuhi ladang getah dan kelapa sawit itu bertukar wajah menjadi taman-taman perumahan selain menikmati pelbagai kemudahan dan infrastruktur yang baik.

Era bekas menteri kerja raya di Sungai Siput yang bermula pada 1974, berakhir pada pilihan raya umum (PRU) 2008 apabila beliau menerima kejutan besar tewas mengejut di tangan calon Parti Sosialis Malaysia Dr Michael Jeyakumar Devaraj yang memperoleh majoriti 1,821 undi.

Pada PRU 2013, Dr Jeyakumar mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti 2,793 undi mengatasi calon BN yang mempertaruhkan Devamany.

Pada PRU kali ini, BN sekali lagi mencalonkan Devamany untuk merampas kerusi tersebut daripada Dr Jeyakumar yang turut berdepan S. Kesavan (PKR) dan Ishak Ibrahim (PAS).

Seorang lagi penduduk, R. Jayaraman, 58, berkata kebanyakan pengundi sedar penyandang tidak melakukan sebarang pembaharuan di kawasan itu dan pembangunan yang dinikmati sebelum ini seolah-olah terencat.

"Kita dah bazir masa 10 tahun. Tak ada pembangunan. Penyandang kini tidak (dapat) membawa apa-apa kemajuan. Kalau calon kerajaan menang baru mereka ada peruntukan dan boleh berbakti di kawasan masing-masing," katanya.

Kawasan Parlimen Sungai Siput mempunyai 55,119 pengundi dengan majoritinya adalah kaum Cina (20,003), Melayu (18,894), India (11,557) dan lain-lain (4,665).

-- BERNAMA