Perkukuh pendidikan antara tumpuan Parlimen Batang Sadong - Nancy




Oleh Noor Bakhtiar Ahmad

SIMUNJAN, 6 Mei (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri menjadikan pendidikan sebagai agenda pembangunan untuk masyarakat di kawasan itu.

Selain memperkasa modal insan menerusi pendidikan, beliau turut menjadikan infrastruktur, sosio ekonomi, komuniti, sukan dan rekreasi serta kerohanian sebagai keutamaan pembangunan di Batang Sadong.

Beliau berkata enam perkara itu merupakan pelan jangka panjang berstruktur yang akan memudahkan beliau untuk merancang pembangunan seimbang di kawasan itu.

"Penekanan kepada pembangunan modal insan perlu dilakukan kerana kita mahu melahirkan masyarakat bebas kemiskinan dan fokus terbaik ialah dengan meningkatkan tahap pendidikan anak-anak."

"Adalah penting untuk kita membawa anak-anak masyarakat sini ke tahap memiliki ijazah atau sekurang-kurangnya diploma," kata Nancy yang akan mempertahankan Parlimen Batang Sadong pada Pilihan Raya Raya Umum Ke-14 (PRU14) di sini.

Beliau menjelaskan sekiranya lemah akademik, anak-anak itu boleh dibimbing dengan pendidikan teknikal dan kemahiran di pelbagai institusi kerajaan termasuk di Pusat Giat Mara Batang Sadong.

Sementara itu, ketika ditanya suasana dan sentimen pengundi selepas sembilan berkempen, Nancy berkata beliau menerima sokongan positif daripada masyarakat setiap kali berkempen.

"Di Parlimen Batang Sadong, ada lebih 100 kampung. Saya mula berkempen di kawasan-kawasan yang jauh termasuk yang perlu menggunakan bot kerana bagi saya, setiap kawasan dan pengundi adalah berharga."

"Dalam setiap kempen, saya ambil kesempatan untuk terangkan inisiatif kerajaan BN dan pada masa yang sama, mendengar serta mengambil maklum masalah serta isu rakyat setempat," katanya.

Nancy, yang menyandang kerusi itu sejak 2008, akan ditentang Asan Singkro dari PAS dan Othman Mustapha@Mos dari PKR.

-- BERNAMA