Pemuda UMNO guna media sosial, aktiviti kemasyarakatan dekati pengundi
SEGAMAT, 6 Mei (Bernama) -- Sayap Pemuda UMNO cawangan Batu Anam menggunakan pendekatan media baharu, Facebook dan menganjurkan aktiviti kemasyarakatan bagi mendekati golongan muda dan pengundi luar.
Ketuanya Mohd Aidil Othman berkata pendekatan itu perlu kerana lebih dekat dengan jiwa orang muda selain untuk memastikan bahawa segala maklumat sampai kepada mereka dengan cepat dan tepat berbanding kempen cara tradisional.
"Cara sebegini mudah diterima dan difahami orang muda kerana mereka kurang berminat untuk mendengar penerangan yang panjang dan lazim digunakan sebelum ini," kata usahawan berjaya itu kepada Bernama baru-baru ini.
Ditanya mengapa hanya menggunakan platform Facebook dan bukannya media sosial lain, Mohd Aidil, 41, berkata masyarakat di Batu Anam lebih sinonim menggunakan Facebook.
"Saya menggunakan Facebook peribadi 'Aidil OJ', Persatuan Belia Batu Anam dan Kelab Bola Sepak Batu Anam dalam menyalurkan maklumat terkini kepada semua pengundi muda dan pengundi luar kerana dengan cara tersebut kami dapat mendekati semua pengundi muda," katanya yang kini mempunyai kira-kira 6,000 pengikut daripada ketiga-tiga laman itu.
Selain itu, Mohd Aidil yang mesra dengan panggilan 'atuk' dalam kalangan rakan-rakan berkata beliau turut menganjurkan aktiviti kemasyarakatan seperti sukan bagi mendekati pemuda di luar bandar kerana golongan tersebut kurang berminat dengan program mega yang memerlukan belanja besar.
-- BERNAMA