Semua parti termasuk pembangkang akan pecat anggota tidak setia - Zambry




Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (Gamabr fail Bernama)

LUMUT, 6 Mei (Bernama) -- Menjadi prinsip setiap parti politik termasuk pembangkang untuk mengambil tindakan ke atas pemimpin atau anggota mereka yang terlibat dengan kempen parti lawan berdasarkan peraturan parti masing-masing, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata mana-mana parti tidak akan membiarkan anggotanya berada di pentas parti politik yang bertentangan dan akan mengambil tindakan disiplin kerana perkara itu jelas melanggar peraturan dan perlembagaan sesebuah parti.

"Semua yang berada dalam parti tentunya tahu kalau saudara saudari (pemimpin dan anggota parti) sudah ada di sana (ceramah kempen pembangkang), sudah tidak bersama dengan parti," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Santai Anak Muda di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan UMNO memecat keanggotaan dua veteran parti itu yang merupakan bekas menteri iaitu Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin susulan tindakan mereka menyokong pembangkang, berkuat kuasa Jumaat lepas.

Terdahulu Zambry merasmikan majlis Pelancaran Program Jimat Belanja Dapur Peringkat Negeri Perak di Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR) dan Program Sukan Rakyat di Fasa 3C di sini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas pendedahan oleh penolong penerbit UbahTV, laman rasmi dalam talian DAP, Amran Ahmad bahawa DAP telah mereka-reka puluhan risalah dan rakaman video bagi memfitnah kerajaan BN, Zambry berkata perkara itu perlu diberi perhatian serius.

Calon BN kawasan Parlimen Lumut dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor itu berkata rakyat perlu menilai perkara itu.

"Ini adalah cubaan terakhir (pakatan pembangkang) nak menjatuhkan kita (BN) dengan apa cara sekalipun," katanya.

-- BERNAMA