Tun M akan buat macam-macam di saat akhir - Hishammuddin




JOHOR BAHRU, 6 Mei (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak hairan jika Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan bermacam-macam lagi perkara bagi menimbulkan emosi pengundi menjelang hari pengundian yang hanya berbaki dua hari lagi.

Menteri Pertahanan itu berkata menimbulkan emosi marah, simpati dan sedih dalam kalangan pengundi pada saat-saat akhir adalah sememangnya cara berpolitik Dr Mahathir sejak dahulu.

"Walaupun telah menjengah usia 93 tahun, beliau masih tidak berubah, sekarang nak menziarahi kubur (bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham) Nik Abdul Aziz Nik Mat. Saya tak tahulah ikhlas ke tidak .

"Di penghujung (kempen pilihan raya ini), mungkin ada banyak lagi perkara yang dia fikirkan untuk cuba menimbulkan emosi marah, simpati, sedih (pengundi)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Veteran Johor Bahru di Kompleks Belia dan Sukan Larkin di sini, hari ini.

Rancangan Dr Mahathir yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan diketuai DAP itu untuk menziarahi kubur Allahyarham Nik Abdul Aziz di tanah perkuburan Islam Kampung Pulau Melaka di Kota Bharu hari ini, terbantut apabila dihalang keluarga bekas Mursyidul Am PAS itu.

Dalam pada itu, Hishammuddin juga mempertikaikan keikhlasan PAS yang kononnya mahu memperjuangkan nasib veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan cara meletakkan lebih 20 veteran angkatan itu menjadi calon bertanding di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

"Kenapa tidak mengetengahkan calon-calon veteran dari dulu? Kenapa baru sekarang hendak ketengahkan ramai calon-calon veteran kita (ATM)?," katanya.

Pada PRU14 ini, PAS mengetengahkan seramai 24 calon dalam kalangan veteran ATM termasuk tujuh orang di Johor.

Ketujuh-tujuh mereka ialah Kapten (B) Najib Lep di DUN Bukit Pasir, Staf Sarjan (B) Azman Ibrahim (DUN Bukit Naning); Adnan Othman (DUN Semerah); Staf Sarjan (B) Muhammad Abdullah (DUN Yong Peng); Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar (DUN Panti); Sarjan (B) Mardi Marwan bagi Parlimen Ayer Hitam dan Leftenan Kolonel (B) M. Ash'ari Sidon (Parlimen Sri Gading).

-- BERNAMA