Hati-hati, jangan termakan fitnah pemimpin lama - Shahrizat




KLUANG, 6 Mei (Bernama) -- Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengingatkan rakyat supaya tidak termakan dengan hasutan dan fitnah pembangkang terutama pemimpin politik lama yang sebelum ini berada dalam kerajaan dan kini sudah tidak berjawatan.

Beliau berkata pemimpin berkenaan kini menderhaka kepada prinsip mereka sendiri sekali gus menjadikan rakyat sebagai mangsa politik mereka.

"Semasa mereka berjawatan (dalam kerajaan), parti kerajaan, ahli-ahli termasuk Wanita memberi sokongan dan dukungan kepada mereka termasuk semasa mereka semua terpalit dengan pelbagai skandal, dugaan dan cubaan.

"Tetapi pada hari ini, mereka berpaling tadah dan derhaka kepada prinsip mereka sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis Ratu Hati Negaraku bersama Wanita Jalinan Rakyat (JR) BN Sembrong di Felda Ulu Belitong, di sini, hari ini. Hadir sama Ketua Wanita UMNO Bahagian Sembrong Datuk Noraslina Zainal Abidin.

Shahrizat berkata selama menjadi pemimpin dalam kerajaan sebelum ini, mantera pemimpin lama berkenaan adalah 'setia kepada parti' tetapi kini menderhakainya.



"Namun ia berubah ketika ini dengan menyaksikan mereka adalah anasir yang membawa kemungkaran kepada prinsip mereka sendiri. Jadi, jangan termakan dengan hasutan fitnah dan tohmahan mereka? saya minta rakyat Malaysia, jangan jadi mangsa politik mereka," katanya.

Kepada jentera Wanita JR seluruh negara, Shahrizat yang juga ketua Wanita UMNO mahu mereka memastikan operasi prosedur standard (SOP) dipatuhi dalam bertemu dan merayu pengundi bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

Beliau turut mengingatkan para pengundi wanita supaya tidak beremosi dan berfikirlah secara rasional ketika mengundi, Rabu ini.

-- BERNAMA