Kerajaan BN banyak bantu rakyat tangani kos sara hidup - Penduduk
Oleh Mohd Firdaus Md Saisi
KUALA LANGAT, 6 Mei (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) diakui telah banyak melakukan program intervensi yang berkesan dalam membantu rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dalam menangani peningkatan kos sara hidup, menurut penduduk Kuala Langat.
Bagi Ahmad Zaini Diman, 56, peningkatan kos sara hidup antara perkara yang tidak dapat dielak oleh mana-mana negara ketika ini dan langkah kerajaan dalam membendungnya amat dihargai.
"Dahulu harga barang memang murah, tapi pada masa itu duit susah nak dapat, gaji pun amat sedikit. Sekarang duit agak senang dicari asalkan kita rajin berusaha mencari rezeki," kata pekebun kecil itu ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Di samping memuji langkah kerajaan memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pengundi di kawasan Parlimen Kuala Langat itu mahu kerajaan menambah bilangan pasar tani yang menawarkan harga lebih rendah bagi barangan segar serta memperbanyakkan lagi senarai barangan dalam skim kawalan harga musim perayaan.
BR1M yang diperkenalkan pada 2012 merupakan cetusan idea Bank Negara bertujuan untuk membantu meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.
Pada peringkat awal, penerima BR1M bagi kategori isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah menerima sebanyak RM500 pada dua tahun pertama pelaksanaannya. Jumlah BR1M kemudian dinaikkan kepada RM650 pada 2014, RM950 pada 2015, RM1,000 pada 2016, pada 2017 dan 2018 sebanyak RM1,200.
Skim Kawalan Harga Musim Perayaan pula telah dilaksanakan sejak tahun 2000 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Di bawah skim berkenaan beberapa barangan keperluan telah diletakkan harga siling di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit bagi suatu tempoh tertentu.
Sementara itu seorang penjawat awam, Rabiatul Adawiyah Sulong, 32, berkata kerajaan patut menyemak semula elaun Bantuan Sara Hidup (COLA) penjawat awam terutama yang bertugas di pinggir bandar seperti Kuala Langat.
Katanya harga barangan di sini sama seperti di bandar-bandar besar yang berhampiran seperti Klang dan Shah tetapi COLA di kawasan berkenaan diletakkan dibawah Kelas C, iaitu sebanyak RM150.
"Kuala Langat ini dengan bandar besar, harga barang, kadar sewa dan harga rumah lebih kurang sama dengan Klang, Shah Alam, dan kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, saya rasa sudah sampai masa kerajaan semak balik Cola di kawasan ini," katanya.
Bagi kontraktor Asmawi Tukiman, 42, beliau menyarankan agar program seperti Jualan Sentuhan Rakyat dilakukan lebih kerap di kawasan-kawasan tumpuan ramai.
"Program menjaga kebajikan masyarakat seperti ini memang bagus dan patut kerajaan perbanyakkan lagi, buat di setiap daerah seminggu sekali sama macam pasar tani sudah cukup bagus, orang ramai pun beli barang dapur dalam seminggu sekali, perkara ini patut dipertimbangkan," katanya.
-- BERNAMA