Manifesto BN lindungi alam sekitar dapat pujian
KOTA KINABALU, 6 Mei (Bernama) -- Seorang wartawan veteran Sabah menyambut baik manifesto Barisan Nasional (BN) negeri ini bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), yang memberi komitmen serius untuk melindungi alam semula jadi di negeri ini.
Emin Madi berkata ikrar BN itu sejajar dengan dasar negeri ini yang memperuntukkan 30 peratus jisim buminya untuk dijadikan Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA) menjelang 2025.
"Bagi saya, usaha melindungi warisan semula jadi kita amat memerlukan kesunguhan politik kerana ia akan memastikan generasi masa depan dapat mewarisinya.
"Saya mempunyai sebab untuk menyokong manifesto itu kerana saya telah melibatkan diri dalam banyak kaji selidik tentang hidupan liar dan sumber di Lembah Danum, Lembangan Maliau dan kawasan pemuliharaan Ngarai Imbak," katanya kepada Bernama.
Emin berkata kerjasamanya bersama-sama dengan penyelidik tentang hutan dan hidupan liar serta beberapa saintis terkemuka di Sabah telah memberi peluang kepadanya memahami dengan lebih mendalam tentang usaha memulihara hutan dan alam sekitar di negeri ini.
"Walaupun saintis dan penyelidik merupakan komuniti kecil di Sabah, tetapi mereka yang menyediakan maklumat saintifik penting untuk disampaikan kepada pemegang kepentingan, terutama orang ramai tentang betapa pentingnya melindungi hutan dan hidupan liar.
"Pada saya, mereka ini sebenarnya adalah wira kerana mereka begitu tekun berjuang untuk melindungi khazanah biodiversiti Malaysia yang begitu kaya di utara Borneo.
"Tidak banyak orang menyedari cabaran yang terpaksa mereka harungi ketika melakukan kaji selidik dan membuat penyelidikan di tengah-tengah hutan belantara yang dipenuhi lintah. Kadang kala, mereka terserempak dengan pemburu haram bersenjata.
"Inilah sebabnya saya dapati manifesto BN begitu menggalakkan kerana usaha melindungi alam semula jadi dan hidupan liar di Malaysia, khususnya di Sabah, adalah sangat penting, selain potensi besar yang dimilikinya dari segi ekopelancongan.
"Saya percaya lebih satu juta hektar TPA di Sabah tidak mungkin dicapai sekiranya negeri ini tidak mempunyai satu dasar kukuh berkaitan pengurusan hutan lestari seperti yang dilaksanakan Jabatan Perhutanan Sabah dan disokong secara serius oleh Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman," katanya.
Dalam manifesto BN itu, perlindungan alam sekitar bagi mewujudkan ekonomi hijau merupakan satu daripada 20 komitmen yang ditawarkan parti gabungan itu kepada rakyat Sabah sekiranya ia terus diberi mandat untuk mentadbir negeri ini.
Setelah beberapa dekad mengamalkan dasar pembalakan tidak lestari yang berlandaskan politik, kini Sabah menerajui Malaysia dari segi rangkaian TPA.
Setakat November 2016, Sabah mempunyai TPA seluas 1,874,061 hektar atau 25.46 peratus daripada keseluruhan kawasan daratannya yang seluas 73,371 km persegi iaitu kira-kira 10 peratus daripada keluasan Borneo.
"Tentu menarik sekiranya Iebih banyak pemimpin politik bukan sahaja menunjukkan minat mendalam mereka terhadap isu alam sekitar, tetapi juga meluangkan masa melawat atau meneroka hutan kita yang masih berada dalam keadaan asli dan belum terusik," kata Emin.
-- BERNAMA