Serah pada polis siasat dakwaan DAP sebar propaganda jahat
JOHOR BAHRU, 6 Mei (Bernama) -- Orang ramai dinasihati supaya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dakwaan DAP menyebarkan propaganda jahat bersifat fitnah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini untuk meraih sokongan.
Sehubungan itu juga Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed mengingatkan pengundi agar lebih bijak menapis maklumat yang diterima.
"Jangan buat rumusan sendiri," kata beliau kepada pemberita pada Perhimpunan Pemimpin Bersama Rakyat di PPR Kempas di sini hari ini yang turut dihadiri Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Nur Jazlan diminta mengulas laporan media memetik seorang anggota seumur hidup DAP, Amran Ahmad yang mendakwa DAP sengaja memburuk-burukkan kerajaan BN termasuk memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya dengan matlamat meracuni pemikiran rakyat.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim hari ini dilaporkan berkata polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan tersebut selepas menerima laporan polis yang dibuat oleh individu berkenaan semalam.
Beliau dilaporkan berkata kes disiasat menurut Seksyen 124c Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA